fbpx
Gambar hiasan

Gempa bumi Filipina: Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Tiada laporan mengenai mana-mana warga Malaysia dilaporkan terjejas setakat ini dengan insiden gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 yang melanda kawasan luar pantai Mindanao, Filipina hari ini.

Kementerian Luar berkata, pihaknya melalui Kedutaan Besar Malaysia di Manila sedang memantau rapat situasi itu.

Katanya, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) turut mengeluarkan maklumat terkini berhubung nasihat tsunami setempat bagi kawasan pesisir pantai Sabah susulan insiden tersebut.

“Mengenai situasi di Filipina, memandangkan ini adalah detik awal susulan gempa bumi, Kedutaan Besar Malaysia di Manila sedang giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan berkaitan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan komuniti warga Malaysia di kawasan terjejas. 

“Pada peringkat awal ini, tiada laporan mengenai mana-mana warganegara Malaysia yang terjejas akibat bencana tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Kata Wisma Putra, warga Malaysia yang menetap atau melakukan perjalanan ke kawasan terjejas di Filipina dinasihatkan dengan tegas untuk kekal berwaspada selain segera berpindah ke kawasan lebih tinggi sekiranya berada berhampiran dengan pantai.

Warga Malaysia juga dinasihatkan mematuhi sepenuhnya semua arahan pemindahan serta arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Filipina. 

“Bagi memudahkan komunikasi dan penyaluran bantuan konsular yang pantas, warga Malaysia digesa untuk mendaftar dan sentiasa mengemas kini maklumat perhubungan mereka menerusi portal e-Konsular di pautan https://ekonsular.kln.gov.my.

“Bagi bantuan konsular segera atau kecemasan, warga Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Manila secara terus,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN