PETALING JAYA – Penduduk di Sabah terutama di Tawau, Semporna serta kawasan sekitarnya turut merasai gegeran susulan kejadian gempa bumi kuat di Mindanao, Filipina dengan magnitud 7.9 pukul 7.37 pagi ini.
Menerusi tinjauan di media sosial Facebook, penduduk memaklumkan bukan merasai gegaran beberapa saat, malah ada yang berasa pening.
“Tawau ada rasa gegeran beberapa saat, mula-mula saya ingat kepala saya tidak betul. Nampak post (hantaran Facebook MetMalaysia), baru tahu rupa-rupanya gempa bumi,” komen pengguna Facebook Jeff Gon.
“Patutlah di Kunak terasa gegarannya,” komen Nang Nang.
“Terasa gegaran di Semporna,” kata Ckobok-kobok Cdek.
“Terkejut, kuat juga gegaran dia,” kata Lucky Mae.
Kosmo! melaporkan, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan nasihat tsunami susulan gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 yang berlaku di Mindanao, Filipina pada pukul 7.37 pagi hari ini.
MetMalaysia memaklumkan, gempa bumi itu berlaku pada koordinat 5.7 darjah Utara dan 125.1 darjah Timur dengan kedalaman 50 kilometer.
Menurutnya, pusat gempa terletak kira-kira 747 kilometer ke timur dari Semporna, Sabah. – KOSMO! ONLINE














