PETALING JAYA – Tindakan tegas Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengejar peminjam culas dan mendakwa mereka ke mahkamah adalah mahu membantu lebih rakyat orang Melayu dan Bumiputera yang memerlukan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau dan Mara menerima pelbagai tuduhan susulan tindakan tegas tersebut termasuk kononnya menggadai perjualangan orang Melayu dan tidak berhati perut.
“Sebab nak tolong lebih ramai yang memerlukanlah, Mara sekarang lebih tegas kejar peminjam culas sehingga dakwa mereka di mahkamah tanpa kompromi. Tuduhlah saya apa sahaja, pendirian saya tetap tegas.
“Ada yang tergamak menuduh saya dan Mara menggadai perjuangan Melayu dan tidak berhati perut kerana sanggup mendakwa mereka di mahkamah.
“Sebab nak tolong lebih ramai orang Melayu dan Bumiputera yang memerlukanlah, saya dan Mara kena lebih tegas mengejar mereka yang culas dalam membayar balik hutang perniagaan mahupun pendidikan Mara,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut menjelaskan bayaran hutang yang diterima itu mampu menampung pembelajaran pelajar tidak berkemampuan terutama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Cuba bayangkan dengan mendapatkan balik RM500,000 daripada seorang peminjam, Mara boleh tanggung 15 ke 20 orang pelajar miskin dan masukkan mereka dalam bidang TVET di Institusi Pendidikan Mara.
“Lagipun Islam jelas meletakkan asas penting bahawa hutang wajib bayar,” katanya.
Beliau turut memetik hadis Rasulullah SAW daripada sahih al-Bukhari yang bermaksud, ‘sesiapa yang mengambil harta manusia dengan niat untuk membayarnya, Allah akan membantunya melunaskannya, sesiapa yang mengambilnya dengan niat untuk menghabiskan atau tidak membayarnya, Allah akan membinasakannya’. – KOSMO! ONLINE














