ISKANDAR PUTERI – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kebangkitan semula ‘gelombang biru’ di Johor bakal menjadi pemangkin kepada usaha mengembalikan kekuatan parti itu di peringkat nasional.
Presiden UMNO itu berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sekadar medan memilih kerajaan negeri baharu, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada kebangkitan semula BN untuk menawan semula sokongan rakyat di seluruh negara.
“PRN Johor adalah tapak penentuan yang sebenar. Dari Johor kita susun kekuatan, dari Johor kita nyalakan semula obor perjuangan dan dari Johor kita buktikan bahawa gelombang biru kembali semula.
“Kita mahu menghantar isyarat jelas kepada seluruh negara bahawa BN masih relevan, masih kukuh dan terus menjadi sandaran rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Johor di Stadium Tertutup Kompleks Educity, di sini hari ini.
Menurut Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, rakyat Johor perlu memilih antara kestabilan yang dibawa BN atau ketidaktentuan yang ditawarkan pihak lawan.
Katanya, rekod pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi membuktikan BN mampu menyediakan peluang pekerjaan, perumahan dan masa depan yang lebih baik kepada rakyat.
“Bangsa Johor boleh belajar di Johor, bekerja di Johor, memiliki rumah di Johor dan membina keluarga di Johor. Itu hasil usaha yang sedang dilakukan kerajaan negeri hari ini.
“Johor mesti menjadi negeri contoh yang bukan sahaja menarik pelaburan, tetapi memastikan manfaat pembangunan dirasai seluruh rakyat,” ujarnya.
Ahmad Zahid turut mengingatkan seluruh jentera parti supaya tidak leka dengan serangan fitnah yang disebarkan menerusi media sosial menjelang PRN.
Menurutnya, fitnah politik masa kini hadir dalam bentuk video pendek, poster palsu dan akaun tanpa nama yang bertujuan merosakkan keyakinan rakyat terhadap BN.
“Jawab fitnah dengan fakta, jawab dengan rekod kerja dan tawan hati rakyat di semua platform media sosial. Ini medan perang baharu yang mesti kita kuasai,” katanya.
Beliau pada masa sama menyeru seluruh komponen BN termasuk UMNO, MCA, MIC dan Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) supaya bergerak sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan besar pada PRN kali ini.
“Lupakan siapa calon dan siapa tidak menjadi calon. Calon kita hanya satu iaitu calon Barisan Nasional.
“Kita mesti rapatkan saf, bekerja lebih kuat dan memastikan Johor kembali menjadi deposit tetap BN,” katanya. – KOSMO! ONLINE














