MANCHESTER – Bekas pengendali Manchester City, Pep Guardiola memberi amaran agar mana-mana pasukan tidak taksub memburu trofi Liga Juara-Juara (UCL) kerana menganggap saingan domestik lebih penting.
Menurut Guardiola, kejayaan bergelar juara liga sebenarnya lebih mencerminkan kekuatan sebenar sesebuah pasukan berbanding kempen UCL yang merupakan trofi sampingan kerana dipengaruhi faktor luar jangka.
“UCL adalah pertandingan yang boleh memusnahkan sesebuah projek dan saya harap perkara itu tidak berlaku.
“Kita tidak boleh bayangkan bahawa ada tanggapan jika pasukan gagal memenanginya, segala yang telah dibina selama ini dianggap tidak bernilai,” kata bekas pengendali Manchester City itu.
Guardiola yang pernah menjulang trofi UCL sebanyak tiga kali sepanjang karier kejurulatihannya percaya konsistensi dalam saingan liga adalah kayu ukur terbaik untuk menilai prestasi sesebuah pasukan.
“Saingan liga adalah pertandingan menuntut pasukan sentiasa konsisten. Dalam UCL, anda perlu berada pada tahap terbaik ketika aksi penting, bebas daripada kecederaan dan keputusan pengadil juga memainkan peranan besar.
“Apa yang penting, pasukan terus berkembang dan meningkat, bukannya menganggap musim itu gagal hanya kerana tidak mara ke final atau gagal memenangi UCL.
“Saingan liga adalah asas utama untuk menentukan sama ada musim mereka berjaya atau sebaliknya,” katanya. – AGENSI














