‘PANDAI-pandai angkat beg balik rumah’
Itu amaran keras legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei kepada mana-mana pemain kebangsaan yang masih berdegil dengan melakukan masalah disiplin sehingga menjejaskan reputasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM itu menegaskan badan induk berkenaan tidak akan teragak-agak untuk menyingkirkan mana-mana pemain yang gagal mematuhi peraturan selepas diberi peluang dan amaran secukupnya.
Menurutnya, keputusan untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemain bermasalah disiplin sudah dipersetujui dalam mesyuarat jawatankuasa BAM bersama Presiden, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Chong Wei berkata, pemain senior perlu sedar mereka adalah contoh kepada generasi pelapis dan setiap tingkah laku mereka sentiasa diperhatikan serta menjadi ikutan pemain muda.
“Pemain perseorangan dan beregu utama seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M Thinaah serta Chen Tang Jie-Toh Ee Wei adalah ikon negara. Apa yang senior lakukan, itulah yang akan diikuti oleh pemain muda di peringkat negeri mahupun pelapis.
“Jadi, pemain senior kena tunjuk contoh terbaik kepada mereka ini. Dalam mesyuarat jawatankuasa, kita sudah bincang dan kita akan beri amaran terakhir. Presiden sudah cakap, kita akan keluarkan pemain yang ada masalah disiplin,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau mendedahkan telah mengadakan pertemuan empat mata
bersama pemain perseorangan, Leong Jun Hao sebelum Terbuka Malaysia bagi membincangkan kemerosotan prestasi pemain itu yang dikaitkan dengan isu disiplin.
Katanya, tindakan mendedahkan perkara itu secara terbuka adalah atas dasar ketelusan seperti yang disarankan oleh Presiden BAM agar setiap pemain sedar akan keseriusan pihak pengurusan dalam menangani isu disiplin.
“Saya sudah cakap kepada Jun Hao, saya tidak mahu dengar apa-apa alasan lagi. Dia sendiri mengaku ada masalah disiplin dan sekarang dia perlu bangkit untuk lawan balik serta buktikan kemampuan dirinya jika mahu kekal dalam pasukan,” tegas beliau.














