HULU SELANGOR – Seorang lelaki ditemukan lemas ketika memancing di sebuah tasik di belakang Klinik Kesihatan Serendah di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.06 tengah hari.
Menurut beliau, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 28 kilometer dari balai berkenaan.
“Komander operasi melaporkan terdapat seorang mangsa lelaki berusia lingkungan 50 tahun dipercayai lemas ketika memancing di tasik tersebut.
“Mangsa berjaya dibawa naik oleh anggota bomba dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela Batang Kali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujarnya, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan. – KOSMO! ONLINE














