fbpx
Penari cilik mempersembahkan tarian ulik mayang yang menjadi antara tarikan utama Temasya Budaya Terengganu. Foto oleh PUQTRA HAIRRY ROSLI

70,000 pengunjung meriahkan Temasya Budaya Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Jabatan Kebudayaan dan Ke­senian Negara (JKKN) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menganjurkan Temasya Budaya Terengganu di Dataran Shahbandar di sini selama tiga hari sehingga hari ini.

Ketua Pengarah JKKN, Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, Temasya Budaya Terengganu me­rupakan penjenamaan semula prog­ram Temasya Tranung Kite yang dianjurkan sejak 2024.

Beliau berkata, festival itu merupakan program ketiga yang dimasukkan dalam Kalendar Pelancongan Budaya sepanjang tahun ini selepas kejayaan Pesta Angin Timur Perlis dan Iftar Ramadan.

“Penganjuran program ini bertujuan untuk memperkasa seni dan budaya Terengganu sebagai produk pelancongan utama.

“Ini selaras dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan juga persediaan bagi Tahun Melawat Terengganu 2027,” katanya di Dataran Shahbandar kelmarin.

Terdahulu, beliau menyaksikan perasmian Temasya Budaya Terengganu yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim ne­geri, Datuk Razali Idris.

Mengulas lanjut, Mohd. Amran berkata, antara tarikan utama festival itu adalah persembahan tarian dan kebudayaan setiap daerah di Terengganu termasuk ulik mayang dan rodat.

Razali (berdiri, tengah) bergambar bersama kakitangan JKKN dan penari selepas merasmikan Temasya Budaya Terengganu di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu kelmarin. Foto oleh PUQTRA HAIRRY ROSLI

Selain itu, para pengunjung turut berpeluang mengunjungi le­bih 70 reruai sepanjang tiga hari penganjuran festival tersebut.

“Seramai 70,000 pengunjung dijangka memeriahkan festival ini yang akan berakhir lusa (hari ini). Jumlah ini meningkat hampir dua kali ganda berbanding 30,000 dan 40,000 pengunjung pada festival sama dua tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Razali berterima kasih atas inisiatif JKKN dalam membantu kerajaan ne­geri Terengganu menonjolkan keunikan seni warisan dan kebudayaan negeri sekali gus me­nyemarak sektor pelancongan.

“Malam ini (kelmarin) sahaja saya lihat lebih 6,000 pengunjung terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan pelancong asing menyaksikan perasmian Temasya Budaya Terengganu.

“Buat julung kalinya, tarian ulik mayang yang dipersembah secara patuh syariah telah dipertontonkan kepada pengunjung dengan penyertaan seramai 194 penari,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN