MANCHESTER – Manchester City mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang selepas dakwaan bahawa Real Madrid akan menandatangani Erling Haaland jika Enrique Riquelme memenangi pemilihan presiden kelab itu.
Kelab gergasi Sepanyol itu kini bakal memilih presiden baharu ketika ahli-ahli kelab akan membuat pilihan antara presiden lama, Florentino Perez yang berusia 79 tahun dan Enrique Riquelme dalam satu undian khas hari ini.
Menjelang pengundian tersebut, Riquelme mengeluarkan manifesto akan mendapatkan khidmat penyerang Haaland sekiranya dipilih untuk menerajui kelab itu .
“Haaland mempunyai klausa pelepasan kontrak dan dia mahu datang ke Madrid,” kata Riquelme.
City telah mengeluarkan kenyataan balas dan jelas tidak berpuas hati dengan dakwaan yang dibuat oleh Riquelme.
“Laporan yang muncul dari Sepanyol mengenai masa depan Erling Haaland adalah tidak benar. Tiada kemungkinan perkara ini akan berlaku dan tiada klausa kontrak yang membolehkannya meninggalkan Etihad.
“Kami sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang berhubung penggunaan imej pemain kami dalam konteks ini”,” menurut jurucakap City.
Haaland sering dikaitkan dengan perpindahan ke Real sepanjang tempohnya di Etihad dengan pelbagai spekulasi bahawa kelab itu mungkin akan mengaktifkan klausa pelepasan dalam kontraknya.
Namun, penyerang tersebut menegaskan komitmennya kepada Manchester City pada Januari tahun lalu apabila menandatangani kontrak baharu selama sembilan tahun setengah.
Haaland yang kini berusia 25 tahun menyertai City dari Borussia Dortmund pada tahun 2022 dan sejak itu telah menjaringkan 162 gol yang mengagumkan, termasuk 38 gol pada musim ini.














