fbpx
MUHAMAD AMMAR bersama sebahagian lembu sado yang diternaknya di Kampung Raja Dagang, Pasir Puteh. – TOREK SULONG

Dulu 8 ekor lembu, kini bertambah jadi 150 ekor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR PUTEH – Bermula de­ngan hanya lapan ekor lembu lebih sedekad lalu, seorang penternak muda kini mampu berbangga apabila memiliki lebih 150 ekor lembu pelbagai baka bernilai ratusan ribu ringgit hasil kegigihan dan kesabarannya mengembangkan perusahaan ternakan.

Muhamad Ammar Hami Mohd. Zin, 31, dari Kampung Raja Dagang, di sini berkata, minat mendalam terhadap bidang penternakan mendorongnya menceburi industri itu sebaik menamatkan pengajian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurutnya, antara baka lembu diternak ialah Belgium blue, charolais dan limousin selain lembu tempatan yang mendapat permintaan tinggi daripada ­pelanggan di seluruh negara.

“Pada awalnya saya memiliki lapan ekor lembu termasuk baka Belgium blue. Alhamdulillah, selepas lebih 10 tahun mengusahakan kandang di kebun sawit, jumlah ternakan kini lebih 150 ekor.

“Perjalanan ini bukan mudah kerana memerlukan modal, kesabaran dan komitmen tinggi, namun saya percaya usaha berterusan membuahkan hasil,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, kejayaannya turut dibuktikan menerusi kemenangan (juara) dalam beberapa pertandingan lembu sado yang disertainya di Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan.

Katanya, kos makanan ternakan juga tinggi apabila seekor kumpulan lembu memerlukan kira-kira satu beg makanan setiap dua hari, tidak termasuk rumput serta jerami padi diproses sendiri bagi menjimatkan kos operasi.

“Selain menjual lembu hidup, saya menawarkan perkhidmatan tempahan akikah, korban dan kenduri termasuk penyembelihan, melapah serta penghantaran terus ke rumah pelanggan,” ujar­nya.

Katanya, sempena sambutan Aidiladha baru-baru ini seba­nyak sembilan ekor lembu kampung disembelih untuk korban.

Beliau berkata, permintaan terhadap baka premium se­perti limousin dan charolais makin meningkat, seekor lembu pernah dijual hingga RM12,400 untuk pasaran Kedah.

Katanya, seekor lagi baka limousin bernilai RM23,000 ditempah bagi majlis kenduri di sebuah masjid di Bachok.

Muhamad Ammar turut membantu masyarakat mendapatkan bekalan daging pada harga berpatutan menerusi jualan da­ging segar dalam Program Rahmah di Bachok serta Pasir Puteh.

Katanya, harga daging ditawarkan RM28 sekilogram manakala tulang dijual pada harga RM25 sekilogram,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN