DUNGUN – Perbuatan memproses kayu disyaki menggunakan balak curi dari kawasan hutan simpan berjaya dibongkar Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara dalam serbuan di sebuah kilang di Kampung Dendang, Jerangau di sini semalam.
Serbuan pada pukul 3 petang tersebut berjaya merampas balak, produk kayu dan peralatan kilang dianggarkan bernilai keseluruhan kira-kira RM1.27 juta.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan terbabit turut berjaya memberkas dua lelaki berusia 58 dan 45 tahun yang disyaki penjaga dan pekerja kilang terbabit.
“Siasatan awal mengesyaki kilang memproses kayu ini dimiliki seorang lelaki berasal dari Besut.
“Dia disyaki menggaji penduduk tempatan berkenaan bagi pengoperasian kilang tersebut tanpa lesen sah,” katanya di sini hari ini.
Ahmad Radzi berkata, risikan awal mendapati kilang tersebut mendapat bekalan balak daripada pembalak kecil yang melakukan aktiviti penebangan pokok secara haram di hutan simpan serta tanah kerajaan dan persendirian.
Beliau berkata, bagi mengelak pengesanan dan semakan kewangan oleh pihak berkuasa, setiap urus niaga melibatkan kayu terbabit disyaki dibuat secara tunai.
“Urusan pembelian kayu juga dipercayai dilakukan dengan penglibatkan orang tengah bagi mengelakkan kaitan secara langsung dengan pemilik sebenar kilang itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE














