PETALING JAYA – Keengganan atau ketiadaan persetujuan waris menjadi antara cabaran terbesar bagi kempen pendermaan organ di negara ini sehingga menyebabkan ribuan pesakit terpaksa menunggu lebih lama untuk menerima organ baharu.
Menurut Pusat Transplan Kebangsaan (NTC), daripada 1,320 kes yang dirujuk untuk pendermaan organ dan tisu tahun lalu, hanya 89 kes berjaya diselesaikan.
Antara punca utama yang dikesan adalah waris atau ahli keluarga menolak pendermaan organ kerana tidak mahu si mati menderita iaitu sebanyak 353 kes atau 33.7 peratus daripada keseluruhan penolakan.
“Selain itu, sebanyak 196 kes (18.7 peratus) berlaku kerana ahli keluarga tidak mengetahui hasrat si mati untuk menderma organ semasa hayatnya sekali gus menyukarkan proses membuat keputusan pada saat-saat genting.
“Kebimbangan mengenai kelewatan urusan pengebumian turut menjadi faktor penting apabila sebanyak 181 kes (17.3 peratus) direkodkan, selain 180 kes (17.2 peratus) lagi berpunca daripada kebimbangan berlakunya kecacatan pada jasad selepas proses pengambilan organ,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Selain itu, NTC turut merekodkan sebanyak 67 kes atau 6.4 peratus melibatkan tiada kata sepakat dalam kalangan ahli keluarga, diikuti 40 kes (3.8 peratus) kerana waris masih sukar menerima kematian orang tersayang.
“Hanya sebahagian kecil penolakan dikaitkan dengan faktor kepercayaan agama iaitu 28 kes atau 2.7 peratus, manakala campur tangan pihak ketiga pula menyumbang tiga kes (0.3 peratus) daripada keseluruhan penolakan yang direkodkan,” katanya.
NTC memaklumkan, situasi tersebut memberi kesan besar kepada pesakit yang berada dalam senarai menunggu organ.

Seramai 10,429 pesakit direkodkan berada dalam senarai menunggu transplantasi organ setakat Disember tahun lalu.
Daripada jumlah itu, pesakit buah pinggang mencatat angka tertinggi iaitu 10,397 orang, diikuti pesakit jantung seramai 15 orang, hati (lima), paru-paru (tiga) dan sembilan pesakit yang memerlukan pemindahan jantung serta paru-paru.
“Kebanyakan pesakit dalam senarai menunggu mengalami penyakit kronik dan kegagalan organ tahap akhir yang memerlukan pemindahan organ sebagai satu-satunya pilihan untuk meneruskan kehidupan.
“Pada tahun 2025, sebanyak 104 prosedur transplantasi berjaya dijalankan melibatkan pendermaan kadaverik.
“Laporan awal sehingga 27 Januari lalu pula menunjukkan tujuh kes pendermaan organ dan tisu berjaya diperoleh pada tahun ini,” katanya.
Sementara itu, NTC berkata, jumlah pengikrar pendermaan organ yang direkodkan sehingga 26 Januari lalu adalah seramai 420,795 orang.
NTC berkata, peningkatan kadar pendermaan organ mampu memberi harapan baharu kepada pesakit kegagalan organ tahap akhir di negara ini selain mengurangkan kebergantungan terhadap rawatan jangka panjang seperti dialisis.
“Pesakit yang berjaya menjalani pemindahan organ bukan sahaja memperoleh kualiti hidup yang lebih baik, malah dapat mengurangkan beban kos rawatan jangka panjang kepada sistem kesihatan negara,” katanya.














