fbpx
Mempunyai suami tidak bertanggungjawab yang sering keluar rumah berbulan-bulan tanpa meninggalkan wang nafkah, Ramlah yang tidak bekerja dan anak-anak kecilnya hidup menderita.- Ilustrasi Shah Hasan

‘Saya terpaksa bagi anak air masak dicampur sedikit gula untuk alas perut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP mahligai perkahwinan pastinya tidak akan terlepas daripada pelbagai ujian.

Ada pasangan yang mampu bertahan melayari perjalanan rumah tangga sehingga ke akhir hayat, namun tidak kurang juga yang terpaksa akur memilih jalan perpisahan apabila perkahwinan gagal diselamatkan.

Bagi seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ramlah (bukan nama sebenar), dia menganggap runtuhnya sebuah institusi kekeluargaan adalah apabila hilangnya rasa tanggungjawab terhadap pasangan dan anak-anak. Dalam kes dirinya, dia mempunyai suami yang tidak bertanggungjawab.

Jelas wanita yang berusia lewat 40-an ini, hidupnya dan anak-anak menderita angkara suami yang tidak bertanggungjawab dan meninggalkan mereka selama berbulan-bulan tanpa memberikan wang nafkah.

“Dia (bekas suami) akan keluar rumah selama berbulan-bulan tidak balik dan tidak meninggalkan nafkah untuk kami. Saya tidak tahu dia keluar buat apa, suami kata jangan banyak tanya.

“Dia langsung tiada sifat tanggungjawab kepada isteri dan anak-anaknya,” katanya ketika berkongsi kisah duka ini.

Menurutnya, apabila ikatan perkahwinan sudah tidak lagi terikat dengan sifat-sifat tanggungjawab dan bertolak ansur, maka benteng persefahaman antara kedua-dua belah pihak akan mula rapuh dan runtuh secara perlahan-lahan.

Sekiranya keadaan berkenaan dibiarkan berlarutan tanpa ada usaha untuk memperbaikinya, fasa rumah tangga tersebut akhirnya akan berada pada tahap yang sangat kritikal dan tidak dapat diselamatkan lagi.

Mengimbau kembali memori lalu ketika awal perkahwinan, Ramlah mengakui kehidupan lamanya penuh dengan kenangan pahit dan pernah dihimpit dengan kesusahan akibat sikap tidak bertanggungjawab bekas suaminya itu.

Bagaimanapun, disebabkan enggan meraih, simpati mahupun menyusahkan orang lain, dia mengambil keputusan untuk memendam rasa.

Ramlah tidak pernah menceritakan segala keperitan serta kesempitan hidup yang dialaminya itu kepada ibu bapa kandungnya mahupun sesiapa sahaja dalam kalangan ahli keluarga terdekat termasuk adik-beradiknya.

Apa yang lebih menyedihkan, ada masanya bebanan hidup yang terlalu berat memaksa dia bertindak di luar jangkauan fikiran.

Disebabkan tiada wang yang mencukupi untuk membeli keperluan asas, Ramlah pernah terpaksa memberi anak pertamanya minum air masak yang dicampur dengan sedikit gula demi mengalas perut dan menghentikan tangisan si kecil yang kelaparan.

“Suami saya pada ketika itu tidak pulang ke rumah untuk beberapa bulan dan tidak meninggalkan nafkah sama sekali, anak-anak dah menangis sebab lapar.

“Pada ketika itu saya tidak bekerja kerana tiada siapa yang ingin menjaga anak-anak.

“Saya terpaksa campurkan air dengan sedikit gula sebab itu sahaja yang ada di rumah ketika itu. Bila saya bagi air itu, anak saya sudah senyap dan tidak menangis lagi.

“Itu adalah fasa paling gelap dan menguji keimanan saya, namun itu semua adalah kisah masa lalu yang sudah lama ditinggalkan. Kini, Alhamdulillah semuanya telah berubah sepenuhnya,” luahnya dengan nada sebak menahan air mata.

Ramlah percaya bahawa setiap ujian yang diturunkan oleh Allah SWT mempunyai hikmah yang tersendiri.

Melihat tiada lagi jalan keluar bagi kemelut yang berpanjangan itu, Ramlah nekad untuk membawa kes mereka ke mahkamah Syariah bagi menuntut perpisahan secara rasmi.

Bagaimanapun, proses untuk menuntut keadilan bukanlah satu jalan yang mudah buat dirinya.

Ketika prosiding berlangsung, bekas suaminya itu berkeras dan enggan melepaskannya dengan cara baik.

Sikap acuh tak acuh serta keengganan lelaki itu untuk memberikan kerjasama nyata menyulitkan keadaan dan memanjangkan lagi penderitaan mental yang ditanggung Ramlah sejak sekian lama.

Namun, hasil kesabaran dan bukti yang kukuh mengenai pengabaian nafkah yang berlarutan, mahkamah akhirnya meluluskan permohonan tersebut.

Setelah melalui pelbagai fasa perbicaraan yang penuh emosi, mereka akhirnya sah berpisah jua. Bagi Ramlah, keputusan mahkamah itu merupakan satu rahmat besar yang membuka lembaran baharu dalam hidupnya.

Kini, kehidupan Ramlah jauh lebih tenang dan bahagia bersama keluarga. Anak-anak yang dahulunya kecil kini semuanya sudah membesar dengan baik dan berjaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN