BACHOK – Industri akuakultur di Kelantan terus mencatatkan peningkatan memberangsangkan apabila merekodkan pengeluaran sebanyak 23,048.45 tan metrik dengan nilai melebihi RM236 juta bagi tempoh 2023 hingga tahun lalu.
Pengarah Perikanan Kelantan, Ismail Ibrahim berkata, pencapaian itu membuktikan sektor akuakultur semakin menjadi penyumbang penting kepada ekonomi negeri selain membantu memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Menurutnya, sehingga tahun ini, seramai 990 penternak ikan makan aktif direkodkan di seluruh Kelantan dengan spesies utama diternak terdiri daripada ikan keli, patin dan tilapia merah.
“Dalam tempoh sama, industri ikan hiasan turut mencatat perkembangan positif apabila menghasilkan sebanyak 468,673 ekor ikan dengan nilai jualan RM8.05 juta. Spesies ikan hiasan yang mendapat permintaan tinggi antaranya gapi, betta dan molly yang diternak oleh 47 pengusaha di seluruh negeri,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penutup Pesta Ikan Hiasan dan Akuakultur Negeri Kelantan 2026 yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Makanan Kelantan, Datuk Mohd. Saripudin Tuan Ismail di Dataran Pantai Irama di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail memberitahu, penganjuran pesta itu menjadi platform strategik untuk mempromosikan industri akuakultur dan ikan hiasan negeri kepada masyarakat, pelabur serta usahawan selain memperkukuh rantaian nilai sektor perikanan darat. – KOSMO! ONLINE














