SKUAD hoki lelaki bawah 18 tahun (B18) negara kini hanya selangkah untuk melangkah ke pentas final selepas mengesahkan tiket ke separuh akhir Piala Asia B18 hasil kemenangan 3-0 ke atas China di Kakamigahara, Jepun semalam.
Kejayaan tersebut menyaksikan pasukan kendalian Mohd Harfizi Baharom muncul pasukan pertama dari Kumpulan B yang layak ke kelompok empat terbaik, sekali gus meneruskan misi memburu gelaran pada kejohanan berprestij itu.
Menurut Harfizi, kemenangan tersebut bukan diraih dengan mudah apabila anak-anak buahnya bergelut untuk menampilkan corak permainan sebenar pada dua suku pertama sebelum bangkit lebih meyakinkan selepas rehat.
“Alhamdulillah syukur, pemain-pemain dapat melayakkan diri ke separuh akhir Piala Asia bawah 18 tahun ni. Untuk kemenangan 3-0 ni, yes kita tahu pada suku pertama dan suku kedua kita bukan bermain dengan game kita sendiri.
“Kita cuba betulkan balik pada half-time dan kita dapat tiga gol pada suku ketiga dan suku keempat, seterusnya melayakkan pasukan Malaysia ke separuh akhir,” katanya.
Tiga jaringan Malaysia hadir menerusi pukulan sudut penalti Dheeressh Gunaseelan pada minit ke-41 sebelum Ahmad Idham Fikri Mohd Rizal menambah gol kedua tiga minit kemudian, manakala Harieq Hadief Mohd Fariq melengkapkan kemenangan pada minit ke-57.
Harfizi turut memuji komitmen tinggi pemain yang memahami kepentingan perlawanan tersebut memandangkan hanya kemenangan mampu menjamin tempat ke separuh akhir sebagai pendahulu kumpulan.
“Mereka tahu tanggungjawab masing-masing di dalam padang untuk memenangi perlawanan tersebut. Alhamdulillah mereka dapat melakukannya dengan baik. Itu semua daripada hasil kerja keras pemainlah dengan motivasi yang tinggi,” ujarnya.
Mengulas aksi separuh akhir nanti, Harfizi mengakui cabaran lebih getir menanti apabila Malaysia berkemungkinan berdepan sama ada India, Jepun atau Korea Selatan yang masing-masing memiliki kekuatan tersendiri.
“Kita akan guna tempoh masa rehat dua hari ini untuk kembali ke padang latihan dan melihat apa perkara yang perlu diperbaiki bagi persediaan menghadapi perlawanan separuh akhir nanti,” katanya. KOSMO! ONLINE














