MANCHESTER – Manchester United perlu mencari langkah terbaik bagi menyelesaikan isu melibatkan penyerang, Marcus Rashford yang akan pulang ke Old Trafford selepas tempoh pinjaman bersama Barcelona tamat.
Masa depan pemain England itu berada dalam keadaan tergantung ketika ini selepas The Catalans mengambil keputusan untuk tidak mendapatkan khidmatnya secara tetap dan membawa masuk pemain Newcastle United, Anthony Gordon.
Difahamkan, United hanya meletakkan tanda harga £26 juta (RM139.02 juta) ke atas Rashford, namun Barcelona memilih untuk menawar separuh daripada nilai berkenaan, tetapi mereka mendapatkan Gordon dengan harga jauh lebih mahal, £60.7 juta (RM324.56 juta).
Terdahulu, Barcelona sudah menggunakan pelbagai cara bagi mendapatkan khidmat Rashford secara kekal, termasuk memohon pinjaman semusim lagi selain membayar secara ansuran, namun tidak dilayan United.
Pemilik United, INEOS dikatakan sedia menunggu tawaran daripada kelab lain yang mungkin menawarkan harga lebih tinggi berbanding Barcelona dan mereka tidak tergesa-gesa untuk menjual Rashford.
Pada masa sama, beberapa pasukan lain termasuk juara Bundesliga, Bayern Munich serta musuh tradisi The Red Devils, Arsenal dilaporkan sedang mengintai peluang bagi mendapatkan khidmat pemain berusia 29 tahun itu.
Bagaimanapun, United tidak berminat untuk membiarkan Rashford menyertai pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), namun mungkin mempertimbangkan keputusan seandainya menerima tawaran lumayan. – AGENSI














