DALLAS – Pengendali England, Thomas Tuchel terdesak untuk membuat percaturan terbaik dan memilih kesebelasan utama paling ampuh menjelang aksi pertama menentang Croatia awal pagi esok.
Jurulatih dari Jerman itu itu dijangka mempertaruhkan trio Jude Bellingham, Anthony Gordon dan Noni Madueke dalam kesebelasan utama untuk menggempur kubu Croatia yang pernah mengecewakan mereka pada separuh akhir Piala Dunia 2018.
Fokus utama Tuchel dalam memilih pemain di bahagian serangan adalah tertumpu kepada pemain yang mampu menyokong penyerang utama Harry Kane menyaksikan persaingannya cukup sengit melibatkan Bellingham dan Morgan Rogers.
Selain itu, di bahagian sayap kiri pula, Tuchel perlu memilih sama ada menggunakan kepantasan yang dimiliki oleh Marcus Rashford atau etika kerja serta disiplin taktikal yang menjadi kekuatan Anthony Gordon.
Menurut laporan, England dijangka memilih Gordon berbanding Rashford, manakala Bellingham akan beraksi sebagai pemain yang bakal memberikan sokongan kepada Kane.
Sementara itu, Tuchel mungkin terpaksa membuat satu lagi keputusan besar di bahagian sayap kanan apabila Noni Madueke semakin hampir untuk mengambil tempat rakan sepasukannya di Arsenal, Bukayo Saka yang belum cergas sepenuhnya.
Dalam pada itu, Penjaga gol utama England, Jordan Pickford merasakan selain perancangan taktikal, Tuchel memiliki ‘suara emas’ yang mampu membangkitkan semangat pasukan
“Saya fikir pengurus akan mencetuskan semangat buat pasukan menerusi perbincangan pasukan. Ketika berlatih, kami bekerja keras namun dalam mesyuarat pasukan, pemain akan dengar, fokus kepada apa yang dibawa oleh pengurus.
“Semua itu akan beri semangat untuk kami bawa ke latihan atau pun perlawanan. Saya perlu katakan, dia adalah seorang individu yang hebat untuk menetapkan sesuatu buat pasukan,” kata Pickford. – AGENSI














