LONDON – Pengurus baharu Chelsea, Xabi Alonso diberi amaran supaya membuat perubahan segera dalam skuad utama Chelsea F.C. sebaik sahaja beliau tiba di Stamford Bridge.
Alonso akan mengambil alih Chelsea pada bulan Julai selepas dilantik sebagai pengendali baharu kelab itu menerusi kontrak selama empat tahun.
Bekas bintang Sepanyol itu dijangka mahu memperkuatkan skuadnya pada jendela perpindahan musim panas ini, namun pemain yang akan meninggalkan kelab juga menjadi agenda utama ketika beliau perlu berusaha membawa Chelsea kembali ke puncak.
Beberapa pemain termasuk Enzo Fernandez, Marc Cucurella, Joao Pedro dan Cole Palmer dikait bakal meninggalkan pasukan, namun pengkritik bola sepak England, Andy Townsend percaya Alonso perlu mendapatkan penjaga gol baharu.
“Saya rasa Chelsea perlukan penjaga gol. Robert Sanchez telah memberikan satu atau dua persembahan yang baik baru-baru ini, tetapi saya rasa dia seorang penjaga gol yang akan mengecewakan anda pada saat penting.
“Dia sentiasa ada potensi melakukan kesilapan dan dengan bola sepak moden sekarang, saya rasa anda perlu menyelesaikan masalah itu jika penjaga gol anda membuatkan anda rasa tidak yakin,” katanya.
Legenda Manchester United , Paul Scholes dan Nicky Butt, turut menasihatkan Alonso supaya menggantikan Sanchez apabila beliau tiba di Chelsea.
“Saya rasa penjaga gol adalah masalah di Chelsea, dia satu liabiliti. Dia tidak boleh bermain dengan cara yang diinginkan pasukan,” kata Butt.
Scholes menambah, corak permainan Alonso yang membina serangan dari bawah menyebabkan Sanchez tidak mampu melakukannya dan mereka memerlukan penjaga gol baharu. – AGENSI














