AKSI dua beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Aaron Tai-Kang Khai Xing pada aksi suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Singapura mendapat reaksi berbeza daripada ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi.
Kedua-dua gandingan itu terpaksa akur tidak dapat meneruskan kemaraan pada kejohanan Jelajah Dunia Super 750 berkenaan apabila tewas kepada lawan masing-masing di pusingan suku akhir yang berlangsung kelmarin.
Aaron-Wooi Yik mengalami kekalahan ke-11 kepada beregu China, Liang Wei Keng-Wang Chang selepas tewas straight-set 15-21, 15-21 manakala Aaron-Khai Xing akur dengan kekalahan 21-19, 17-21, 13-21 kepada Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy dari India.
Mengulas prestasi Aaron-Wooi Yik ketika berdepan Wei Keng-Wang Chang, Herry menyifatkan bekas juara dunia itu tidak dapat menyaingi lawan dari segi kepantasan serta kekuatan walaupun pelbagai corak permainan sudah dicuba.
“Aaron-Wooi Yik itu, bagi saya mereka kalah dari segi kepantasan dan kekuatan kepada beregu China. Jadi, apa sahaja corak permainan yang digunakan, memang kita sudah dalam perlawanan tersebut.
“Selain itu, mereka juga banyak buat kesilapan mudah yang membuka ruang kepada pemain lawan. Untuk perlawanan tersebut, memang beregu China bermain sangat baik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sementara itu, jurulatih itu menganggap Aaron-Khai Xing sepatutnya mampu untuk meneruskan kemaraan ke separuh akhir, namun gagal menggunakan kesempatan ketika mendahului set kedua.
“Mengenai Aaron-Khai Xing, rasa sayang kerana mereka sudah mendahului set kedua tetapi tidak dapat bertahan hingga kalah. Secara jujur, mereka sepatutnya menang perlawanan itu tetapi beregu India bermain cukup luar biasa,” ujarnya.














