fbpx
Poster yang dikongsi PHM di Facebook hari ini.

Ini punca sebenar jalan sesak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Aliran trafik menghala ke utara tanah air dilaporkan sesak sejak pagi tadi dengan kenderaan bergerak perlahan di beberapa laluan utama menuju ke arah utara.

Public Health Malaysia (PHM) menerusi satu perkongsian di Facebook berkata, ramai pemandu pada awalnya menjangkakan berlaku kemalangan, kerja jalan atau halangan besar di hadapan ekoran tempoh kesesakan yang agak lama.

“Namun, selepas melepasi kawasan sesak tersebut, keadaan yang ditemui agak pelik apabila jalan kembali lancar.

“Tiada sebarang kemalangan, tiada kerja jalan, tiada sekatan malah tiada kenderaan rosak ditemukan di lokasi,” katanya.

Menurut PHM, fenomena misteri itu dikenali sebagai ‘phantom jam’ iaitu kesesakan yang terbentuk bukan kerana halangan fizikal, tetapi akibat gelombang brek yang berlaku dalam trafik padat.

“Ia boleh bermula dengan satu kereta yang brek sedikit. Kereta di belakang ikut brek dan kereta seterusnya akan brek lebih kuat. Keadaan menjadi lebih parah jika ada pemandu yang menukar lorong mengejut, mencelah atau memandu terlalu rapat.

“Akhirnya, satu brek kecil di hadapan boleh berubah menjadi jem panjang berkilometer di belakang,” jelasnya.

Tambahnya lagi, apabila pemandu sampai ke punca kesesakan, jalan bertukar kosong kerana kenderaan yang mula memperlahankan kenderaan tadi mungkin sudah jauh ke depan.

Kesesakan seperti ini lebih mudah berlaku ketika trafik cuti sekolah, hujung minggu atau musim perayaan disebabkan jumlah kenderaan yang terlalu banyak dan ruang antara kereta terlalu rapat.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak terlalu kerap menukar lorong, tidak mencelah mengejut, menjaga jarak selamat serta memandu dengan kelajuan konsisten untuk memastikan perjalanan lebih lancar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN