PETALING JAYA – Kewujudan peniaga pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini bukan semata-mata berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan, sebaliknya kerana ada rakyat tempatan yang membenarkan perkara itu berlaku demi keuntungan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, dalam satu hantaran di laman Threads berkata antara kaedah yang didakwa digunakan adalah dengan menyewa premis dan lesen perniagaan milik warganegara sebelum operasi harian dikendalikan oleh PATI.
Katanya, lesen yang sah dipaparkan ketika operasi dijalankan, manakala pemilik lesen akan mengaku sebagai pemilik perniagaan sekiranya diperiksa pihak berkuasa.
“Mereka akan sewa premis dan ‘sewa lesen’ orang tempatan. Bila penguat kuasa datang mereka kata hanya pekerja dan tunjuk lesen serta pemiliknya.
“Bila penguat kuasa hubungi warganegara tersebut, dia mengaku dialah pemilik. Jadi tiada pelanggaran undang-undang dapat dibuktikan dan mereka terlepas daripada tindakan,” katanya.
Mengulas lanjut, Altimet berkata, situasi itu menunjukkan terdapat pihak tempatan yang sanggup mengambil kesempatan untuk menjana pendapatan dengan menyewakan lesen perniagaan kepada pihak lain.
Bagaimanapun, dia mengakui terdapat dilema apabila sesetengah pemilik lesen bergantung kepada bayaran sewaan itu sebagai sumber pendapatan, terutama selepas tiada pewaris yang mahu meneruskan perniagaan mereka.
“Bila kami temu bual pemilik premis atau lesen, mereka kata itulah cara untuk ada pendapatan kerana anak-anak tidak mahu ambil alih perniagaan.
“Inilah pendapatan persaraan mereka kerana peniaga tiada pencen,” katanya.
Justeru, Altimet berpendapat isu tersebut memerlukan penyelesaian yang lebih menyeluruh kerana melibatkan pelbagai pihak termasuk pemilik lesen, penguat kuasa dan pembuat dasar. – KOSMO! ONLINE














