fbpx
MOHD. KHAFIZ (dua dari kanan) menunjukkan suasana di Gunung Everest keypad Ahmad (kiri) di Kampung Pulai Sebatang, Pontian kelmarin. – MUHAMMAD ZIKRI

Kicok mahu tawan 14 puncak dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PONTIAN – Pendaki negara, Mohd. Khafiz Bachok atau lebih dikenali sebagai Kicok berazam untuk me­nawan kesemua 14 gunung tertinggi dunia melebihi 8,000 me­ter (m) dalam tempoh dua hing­ga tiga tahun akan datang.

Mohd. Khafiz, 48, berkata, setakat ini beliau sudah berjaya me­nawan tiga gunung tertinggi dunia iaitu Gunung Everest (8,848m), Gunung K2 (8,611m) dan Gu­nung Manaslu (8,163m).

“Misi seterusnya adalah menawan baki 11 gunung lain di Banjaran Himalaya dan Karakoram yang terletak di Nepal, Tibet, India, Pakistan dan China.

“Antara gunung yang ingin di­tawan ialah Kangchenjunga (8,585m), Lhotse (8,516m), Makalu (8,463m), Cho Oyu (8,201m) dan Dhaulagiri I (8,167m).

“Selain itu, Nanga Parbat (8,125m), Annapurna I (8,091m), Ga­sherbrum I (8,080m), Broad Peak (8,051m), Gasherbrum II (8,034m) dan Shishapangma (8,027m),” katanya selepas mene­rima kunjungan Timbalan

Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan di sini kelmarin.

Turut hadir Naib Presiden Maj­lis Olimpik Malaysia (MOM), Da­tuk Mohd. Sumali Reduan yang juga Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Menurutnya, setakat ini ha­nya kira-kira 60 pendaki di dunia berjaya menawan kesemua 14 gunung berkenaan dan beliau mahu muncul sebagai rakyat Asia Tenggara pertama melakar penca­paian tersebut.

“Misi ini dijangka menelan kos kira-kira RM5 juta dan saya kini sedang mengumpulkan dana bagi menjayakannya. Jika sumber kewangan mencukupi, ekspedisi boleh dimulakan pada musim panas atau musim luruh tahun ini,” katanya.

Sebelum ini, Kicok berjaya menawan Gunung Everest pada 18 Mei lalu selepas menempuh pendakian selama 52 hari.

Kejayaan itu menjadikannya rakyat Malaysia ke-30 berjaya menakluki puncak tertinggi dunia tersebut sejak Datuk M. Magendran dan Datuk N. Mohandas melakar sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama menawan ­Everest pada 23 Mei 1997.

Tambahnya, misi berkenaan bukan sekadar pencapaian peribadi, malah akan dijadikan dokumentari bagi memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia.

Bekas penuntut Ijazah ­Perakaunan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berkata, minat mendaki turut dikongsi isterinya, Syuaibatul ­Islamiah Roeswardhi yang sudah 12 kali menawan Gunung Kinabalu.

Tambahnya, beliau turut membawa konsep “0-8000” yang bermula dari Tanjung Piai sebagai penghujung benua Asia ­sebelum menawan gunung-gunung berketinggian lebih 8,000 meter.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN