TAPAH – Hasrat ingin memiliki bengkel jahitan sendiri membuatkan seorang suri rumah mengikuti kursus jangka masa pendek berkaitan jahitan yang dianjurkan oleh Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) selain bengkel kemahiran dalam bidang sosial media anjuran Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).
Menurut Intan Haslinda Aderil Jamlei, 29, minatnya terhadap bidang jahitan mula berputik apabila melihat peluang luas dalam sektor penghasilan pakaian khususnya bagi golongan bersaiz besar selain perkhidmatan membaiki dan mengubah suai (alter) pakaian pelanggan.
“Sekarang saya mengikuti kursus jahitan dan fesyen di GiatMara Tapah di Temoh namun sebaik sahaja hujung minggu digunakan untuk mengikuti kursus yang dianjurkan oleh Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) selain bengkel kemahiran dalam bidang sosial media oleh STeP.
“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana membolehkan menguasai bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) iaitu Pasak berkaitan rekaan dan fesyen pakaian tular kini selain Pasak untuk mempromosikan perkhidmatan dalam media sosial khususnya Facebook, TikTok dan grup WhatsApp,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Katanya, kemahiran itu penting kerana mampu menjangkau pelanggan yang lebih luas berbanding sekitar rumahnya di Tapah semata-mata.
“Syukur kerana latihan yang diberi membolehkan saya mendapat pelanggan di Kampar dan Gopeng selain kini agak mudah kerana mereka hanya perlu menghantar pakaian yang ingin dibaiki dan ubah suai (alter) sahaja menerusi kurier dan spesifikasi diperlukan menerusi WhatsApp atau Facebook Messenger.
“Sebaik sahaja siap, akan dihantar semula menerusi kurier jadi tiada pertemuan secara fizikal selain menjimatkan kos, masa dan jarak,” katanya.
Beliau mampu memperoleh pendapatan mencecah empat angka sebulan selain berhasrat memiliki sebuah bengkel yang selesa pada masa depan.
“Ini bukan sekadar menambah ilmu tetapi membantu menambah sumber pendapatan keluarga. Suami hanya bekerja sebagai pemandu lori selain tiga anak masih kecil jadi kemahiran ini membolehkan saya membantu menambah pendapatan keluarga.
“Cita-cita saya ialah ingin membuka bengkel jahitan di rumah selain tempahan pelanggan turut meningkat. Kerajaan negeri Perak banyak menawarkan kursus berkaitan keusahawan dan TVET malah ada yang diberikan elaun bulanan yang tidak sepatutnya dilepaskan terutama suri rumah dan golongan belia,” katanya.
Ujarnya, bilangan pelanggannya meningkat setiap hari kerana kerancakan pembangunan ekonomi di Perak hasil kerja keras Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saaarani Mohamad yang meningkatkan taraf kehidupan dan kuasa beli rakyat.
Perkembangan ini selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah niche daerah Batang Padang dengan antara tumpuan utama ialah hab pendidikan dan R&D.
Bantuan itu juga selaras dengan flagship kelima Perak Sejahtera 2030, Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat iaitu 1 Keluarga 1 Usahawan cetusan berwawasan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.














