fbpx
TERTUDUH dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini kerana memukul isterinya.-Foto oleh AMRAN ALI /KOSMO!

Suami mengaku belasah isteri, tidak bagi duit beli dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang pengawal keselamatan dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini atas kesalahan memukul isteri kerana enggan memberinya wang untuk membeli dadah.

Majistret, Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Faizzul Ridwan Ab. Rahman, 36, yang mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya berusia 41 tahun di sebuah rumah di Kampung Paya Rumput dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 8 pagi, 24 Mei lalu.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh meminta wang daripada isterinya untuk membeli dadah namun wanita itu menolak kerana tidak mempunyai wang.

Tertuduh kemudian menggunakan telefon bimbit isterinya untuk menghubungi ibu serta adik kandungnya bagi meminjam wang, namun panggilan itu tidak dilayan sebelum dimatikan ahli keluarganya.

Berang dengan situasi itu, tertuduh bertindak menendang paha isterinya kerana enggan bercakap dengan ibunya selain memaksa wanita terbabit keluar mencari RM100 untuk membeli dadah.

Dia turut mengarahkan mangsa membayar denda RM1,000 bagi kes dadah yang sedang dihadapinya di mahkamah selain mengugut mahu membakar motosikal milik isterinya jika enggan berbuat demikian.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani memohon hukuman berat dikenakan kerana tertuduh sebagai suami sepatutnya melindungi isteri dan bukannya menyakiti mangsa.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya hanya memperoleh pendapatan RM1,800 sebulan selain perlu menanggung dua anak.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 24 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN