PENGENDALI Selangor FC, Kim Pan-gon mengakui cetek pengalaman menjadi faktor pasukannya terpaksa berpuas hati dengan status naib juara Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) selepas tewas agregat 1-3 kepada Buriram United, kelmarin.
Menurut Pan-gon, faktor utama kekalahan pasukan adalah gagal meraih keputusan positif pada aksi final pertama minggu lalu kerana terlalu menghormati jaguh kelab Thailand itu sebagai juara bertahan.
Bagaimanapun, Pan-gon tetap bangga dengan semangat dipamerkan oleh semua pemain untuk berikan yang terbaik sehingga berjaya mendahului 1-0 pada final kedua sebelum tuan rumah bangkit untuk meraih kemenangan 2-1 pada final kedua di Arena Chang.
“Kali ini saya sangat bangga dengan semua pemain Selangor kerana mereka bermain dengan sangat baik dan saya tiada sebarang penyesalan.
“Situasi berbeza pada perlawanan di laman sendiri minggu lalu, ketika itu pemain mungkin tercari rentak selepas bermain di final buat kali pertama selepas sekian lama dan mereka agak gementar.
“Namun, barisan jurulatih galakkan mereka menunjukkan karakter sebenar dan tampil dengan penuh yakin. Cuma, harus diakui final ini sangat sukar, walaupun kami tetap cuba mengekalkan karakter pasukan untuk menentang pasukan sekuat Buriram,” katanya.
Sementara itu, kapten Gergasi Merah, Faisal Halim menganggap pengalaman mara ke final kejohanan berprestij itu sebagai satu pencapaian besar buat pasukan musim ini.
“Kami cuba memberikan segala-galanya. Dalam 25 minit pertama kami mengawal permainan, mencipta peluang dan menjaringkan gol.
“Selepas dibolosi, agak sukar untuk mendapatkan semula momentum. Namun, ini pengalaman yang sangat baik buat pasukan dan kami akan terus bekerja keras musim depan,” katanya.














