fbpx
Gambar Hiasan

Simpan dulu daging korban dapat kurangkan bau hamis, tekstur jadi lembut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Orang ramai digalakkan menyimpan daging korban di dalam peti sejuk sebelum dimasak bagi mengurangkan bau hamis selain teksturnya lebih lembut dan mudah dipotong.

Public Health Malaysia (PHM) menerusi perkongsian di Facebook berkata, daging korban yang baru disembelih berada dalam fasa otot tegang menyebabkan teksturnya kadangkala lebih liat dan keras jika ia terus dimasak.

Poster perkongsian PHM di Facebook.

Menurut PHM, daging korban boleh dimasak pada hari sama selepas disembelih, namun proses ‘merehatkan’ daging di bahagian ‘chiller’ (penyejuk) beberapa jam atau semalaman adalah lebih baik.

“Bila daging ditoskan, diasingkan dan disejukkan dalam ‘chiller’ (penyejuk), cecair lebihan lebih mudah turun.

“Bau hamis juga boleh berkurangan dan daging lebih mudah dipotong, dibungkus dan disimpan ikut ‘portion’ (bahagian) sekali masak,” katanya.

PHM menegaskan, orang ramai tidak seharusnya membiarkan daging mentah terlalu lama pada suhu bilik terutama dalam keadaan cuaca panas dan persekitaran dapur yang sibuk.

Jelasnya, tindakan membiarkan daging di atas meja dapur dalam tempoh lama boleh meningkatkan risiko pencemaran makanan.

“Jangan biar daging mentah lama pada suhu bilik. Lagi-lagi bila cuaca panas, dapur sibuk, lalat ada, tangan ramai orang pegang, dan daging pula masih berbungkus dalam plastik.

“Kalau tiada ruang chiller (penyejuk) atau daging sudah lama berada di luar, lebih baik masak terus pada hari yang sama daripada dibiarkan lama-lama,” jelasnya.

PHM turut menasihatkan supaya organ dalaman seperti hati, paru-paru, limpa dan perut dimasak lebih cepat kerana bahagian tersebut mudah rosak berbanding daging pejal. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN