PETALING JAYA – Tindakan mulia sebuah keluarga yang bersetuju mendermakan tisu kornea mendiang Madam Wong Nguk Ming selepas pemergiannya di Hospital Sungai Buloh, baru-baru ini memberi sinar harapan baharu kepada pesakit yang memerlukan.
Unit Derma Organ dan Tisu Hospital Sungai Buloh menerusi satu perkongsian di Facebook, kehidupan mendiang penuh dengan warna-warni apabila beliau dibesarkan di Sarikei, Sarawak sebelum berpindah ke Brunei mengikut mendiang suaminya bekerja.
Menurut perkongsian itu, di penghujung usia, Madam Wong disahkan menghidap penyakit demensia sebelum dibawa pulang ke Semenanjung Malaysia untuk dijaga oleh anak perempuannya.
“Walaupun berhadapan dengan masalah ingatan, ciri peribadi beliau tetap tidak berubah.
“Di sebalik perwatakannya yang tegas, beliau merupakan seorang ibu yang penyayang dan sentiasa suka membantu masyarakat, terutamanya golongan kanak-kanak,” katanya, hari ini.
Tambah kenyataan itu, bagi menghormati sifat murni mendiang yang suka membantu orang lain, ahli keluarga mengambil keputusan untuk melakukan pendermaan tisu kornea selepas beliau menghembuskan nafas terakhir pada 22 Mei lalu di hospital yang sama.
“Walaupun berada dalam suasana hiba, keputusan murni pihak keluarga ini memberikan makna yang besar serta sinar harapan baharu kepada pesakit yang memerlukan.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga mendiang Madam Wong Nguk Ming atas sumbangan yang amat bernilai ini. Jasa dan kebaikan mendiang akan sentiasa dihargai,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen hantaran tersebut, ramai netizen turut menzahirkan rasa terharu serta penghargaan terhadap keputusan keluarga mendiang.
Seorang pengguna dikenali sebagai Tammy YL Loo berkata, dia berterima kasih kepada mendiang Madam Wong dan keluarganya atas kemurahan hati mereka.
“Semoga jasa baik keluarga untuk mendermakan organ ini membantu mereka yang sudah lama tunggu,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, Anitha Yuthasha turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga selain menghargai keputusan mereka melakukan pendermaan tisu.
“Takziah buat keluarga dan terima kasih kepada keluarga Madam Wong kerana membuat keputusan ini. Semoga mendiang bersemadi dengan aman,” katanya. – KOSMO! ONLINE














