PORT DICKSON – Aktiviti menangkap anak buaya di Sungai Linggi yang dilakukan individu tidak bertanggungjawab dipercayai menjadi antara punca reptilia ganas itu menyerang manusia dalam kejadian baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, pihaknya sendiri ada menerima maklumat berhubung aktiviti berkenaan.
Bagaimanapun katanya, perkara itu masih dalam siasatan dan pemantauan pihak jabatannya.
“Kita ada sumber yang menyatakan terdapat individu tidak dikenali menjalankan aktiviti menangkap anak buaya dan perkara ini masih dalam siasatan dan pemantauan pihak jabatan.
“Buaya secara amnya tidak akan menyerang manusia melainkan jika diprovokasi atau diganggu.
“Malah, tindakan individu yang cuba menangkap anak buaya menggunakan jaring boleh mencetuskan reaksi agresif daripada ibu buaya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian seorang lelaki yang mengalami kecederaan di paha dan kaki dipercayai digigit buaya dalam kejadian di tebing Sungai Linggi, Kampung Tanjung Agas Isnin lalu.
Kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu menyebabkan mangsa, Jaafa Hasan, 62, yang merupakan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung berkenaan serta pesara polis mengalami kecederaan serius di kedua-dua kaki dan paha.
Mengulas lanjut, Faizal Izham berkata, sebagai langkah awal, pihaknya kini berusaha mengesan dan menangkap buaya yang dipercayai mempunyai potensi tertinggi menyerang manusia untuk dipindahkan ke Paya Indah Wetlands.
Menurutnya, di Sungai Linggi terdapat banyak buaya dan kawasan berkenaan termasuk Sungai Timun sememangnya sudah lama diiktiraf sebagai habitat semula jadi buaya.
“Berdasarkan pemantauan, sekurang-kurangnya lapan buaya terdapat di sana. Namun, pada tinjauan yang dijalankan pada 2016 merekodkan lebih 50 ekor buaya di sungai sekitar Port Dickson,” katanya.















