fbpx
Sotong mengabang saiz kasar yang berjaya dinaikkan oleh Soleh (kiri). Warna candat yang terang dan kontras dengan warna air laut kadangkala menjadi untuk sotong mengabang (kanan).

Gemalai tarikan sotong mengabang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Teknik memburu sotong menggunakan candat moden iaitu eging kini semakin mendapat tempat dalam kalangan pemancing, terutamanya di perairan Pantai Timur. Perairan ini terkenal dengan populasi sotong mengabang yang banyak ketika musim tertentu.

Berbeza dengan pancingan biasa, eging lebih menitikberatkan seni permainan candat, kawalan joran dan kesabaran pemancing. Setiap hayunan mempunyai teknik tersendiri bagi menarik perhatian sotong mengabang sebelum ia menyambar candat.

Terbaharu, geng saya berpeluang merasai pengalaman eging di perairan Kuantan, Pahang. Keadaan laut yang tenang ternyata merupakan kondisi terbaik mencandat sotong mengabang.

Menurut salah seorang peserta trip, permainan eging memerlukan sentuhan halus dan rentak tertentu bagi memastikan candat kelihatan hidup di dalam air.

Selain memberikan cabaran, aktiviti eging juga semakin diminati generasi pemancing baharu kerana lebih santai dan menyeronokkan. Malah, ramai sanggup datang dari jauh semata-mata mahu merasai sendiri tarikan sotong mengabang di perairan Kuantan.

Dalam keadaan laut yang tenang, kami mula melontar candat ke kawasan sasaran berupa unjam atau kawasan berbatu karang.

Candat

Ada yang memilih candat warna terang seperti merah jambu dan kuning, manakala sebahagian lagi lebih yakin menggunakan warna natural mengikut keadaan air.

Bagi kaki eging, pemilihan candat bukan bergantung kepada warna semata-mata. Faktor seperti saiz, kadar kelajuan ia tenggelam dan cara karauan turut memainkan peranan penting bagi memujuk sotong mengabang untuk menyambar.

Ada kalanya, sotong mengabang lebih gemar mengejar candat yang dimainkan perlahan, namun ada juga situasi yang memerlukan aksi agresif candat bagi membangkitkan naluri serangannya.

Menurut tekong, musim sotong mengabang di Kuantan biasanya menjadi tumpuan ramai kerana kawasan perairannya mempunyai struktur dasar berkarang dan arus yang sesuai untuk aktiviti eging.

“Kalau musim menjadi, memang meriah. Kadang-kadang baharu jatuh candat dah kena. Tapi ada hari kena banyak kali tukar teknik baharu menjadi,” katanya.

Apa yang menarik, eging bukan hanya bergantung kepada nasib semata-mata. Cara mengenjut joran menjadi elemen paling penting dalam permainan ini. Henjutan yang kaku boleh menyebabkan candat hilang aksi dan gagal menarik perhatian sotong mengabang.

Bukan mudah

Disebabkan itu, ramai pemancing menganggap eging sebagai satu cabang memancing yang memerlukan disiplin dan kesabaran tinggi. Walaupun nampak mudah, namun tidak semua mampu menguasai teknik tersebut dalam masa singkat.

Bagi mereka yang baru mencuba, detik pertama melihat hujung joran melentur akibat sambaran sotong mengabang merupakan pengalaman yang sukar digambarkan. Tambahan pula apabila ia mula memancutkan dakwat ke permukaan air sebelum berjaya dinaikkan ke atas bot.

Sorakan mula kedengaran setiap kali ada pemancing berjaya menaikkan sotong mengabang saiz kasar. Ada juga yang tidak menang tangan apabila berturut-turut menerima sambaran.

Selain menjadi aktiviti santai bersama rakan-rakan, eging turut dilihat mampu merapatkan hubungan sesama pemancing. Masa yang dihabiskan di tengah laut sambil berkongsi teknik dan pengalaman menjadikan aktiviti ini lebih bermakna.

Malah, ada pemancing yang sanggup melabur ribuan ringgit untuk mendapatkan set eging berkualiti demi merasai permainan yang lebih selesa dan seimbang.

Dalam dunia eging, penggunaan light tackle menjadi pilihan utama kerana ia memberikan sensitiviti lebih tinggi ketika memainkan candat.

Gabungan joran dan kekili yang bersesuaian membantu pemancing merasai setiap tentangan daripada sotong mengabang.

Selain sotong mengabang yang menjadi buruan utama, trip ini turut dimeriahkan dengan kehadiran bebe­rapa spesies sotong lain seperti jarum dan torak sebaik malam menjelma.

Kehadiran spesies berbeza ini ternyata menambahkan lagi keseronokan sepanjang sesi eging berlangsung, sekali gus memberikan pengalaman lebih menarik buat kami.

Fenomena eging juga semakin berkembang menerusi perkongsian video di media sosial.

Pelbagai aksi mencandat sotong mengabang berjaya menarik perhatian ramai sehingga mendorong lebih ramai pemancing generasi baharu mencuba aktiviti
ini.

Jadi, tidak hairanlah jika hari ini eging dilihat semakin berkembang sebagai budaya baharu dalam dunia memancing tempatan. Gabungan elemen seni, teknik dan cabaran menjadikan aktiviti ini mempunyai daya tarikannya yang tersendiri.

Bagi sesetengah pemancing, eging juga menjadi satu proses pembelajaran yang tidak pernah habis kerana setiap trip mempunyai cabaran yang berbeza mengikut keadaan cuaca, arus dan tabiat sotong pada hari tersebut.

Faktor-faktor itulah yang menja­dikan aktiviti ini sentiasa menarik untuk diterokai dan tidak mudah menimbulkan rasa bosan.

Selain aspek teknik, faktor keselamatan ketika turun ke laut juga tidak boleh dipandang ringan.

Penggunaan jaket keselamatan, pemilihan bot yang sesuai serta pemantauan keadaan cuaca menjadi perkara penting bagi memastikan trip eging berjalan lancar dan selamat sepanjang masa.

Bagi peminat eging, setiap kali di laut bukan sekadar memburu hasil, tetapi juga menikmati keindahan suasana, bunyi ombak dan debaran menanti sambaran sotong dari dasar lautan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN