BEIRUT – Serangan Israel di selatan Lubnan membunuh 31 orang semalam, demikian menurut Kementerian Kesihatan Lubnan ketika Rejim Zionis memperhebatkan serangan di sebalik gencatan senjata yang dipersetujui dalam perang menentang kumpulan Hezbollah.
Hezbollah sementara itu berkata, pejuangnya berdepan tentera Israel yang memasuki bandar Zawtar al-Sharqiyah di selatan Lubnan ketika tentera Israel meluaskan operasi darat.
Menurut kementerian kesihatan, 31 orang termasuk sekurang-kurangnya empat kanak-kanak dan tiga wanita terbunuh dalam serangan itu, manakala 40 yang lain cedera.
Seramai 14 orang maut di Burj al-Shamali dekat Tyre, lima di Kawthariyat al-Riz, empat di Habbush, enam di bandar Maarakeh dan dua di Salaa.
Agensi Berita Nasional milik melaporkan, serangan Rejim Zionis turut mengenai kawasan sekitar sebuah hospital awam, menyebabkan ‘kerosakan ketara pada jabatan-jabatan di hospital tersebut’.
Seorang pegawai tentera Israel memberitahu AFP bahawa tenteranya mula mara melangkaui ‘Garisan Kuning’ yang diumumkan Israel sendiri di selatan Lubnan. Garisan itu merangkumi kawasan sejauh 10 kilometer ke dalam wilayah Lubnan yang ditaklukinya.
Pihak berkuasa Lubnan menyatakan, lebih 3,100 orang terbunuh dalam serangan Israel sejak 2 Mac lalu, apabila Hezbollah mengheret Lubnan ke dalam perang Asia Barat dengan menyerang Israel kerana menyokong Iran. – AFP













