HULU SELANGOR – Polis mengklasifikasikan kes penemuan mayat seorang remaja perempuan, Allahyarham Nur Izzati Humaira Azizul, 19, yang hilang ketika menuruni Bukit Changkat Asa di sini sejak Sabtu lalu sebagai mati mengejut (SDR).
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, mangsa ditemukan meninggal dunia oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira satu kilometer dari lokasi Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) pada pukul 11.58 pagi tadi.
Katanya, mayat mangsa berjaya dibawa keluar dari kawasan berkenaan kira-kira pukul 1.38 tengah hari sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh bagi proses bedah siasat.
Menurut beliau, polis menerima maklumat daripada Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Malim kira-kira pukul 2.30 petang pada Sabtu lalu mengenai kehilangan mangsa ketika menuruni bukit berkenaan bersama ahli keluarganya.
Aktiviti pendakian itu bermula sekitar pukul 8.40 pagi dan disertai enam ahli keluarga mangsa.
“Ketika turun dari bukit kira-kira pukul 10.50 pagi, semua pendaki berhenti berehat sebelum mangsa meminta kunci kereta daripada ibunya kerana mahu turun terlebih dahulu. Mangsa dipercayai mahu berehat di dalam kenderaan kerana tidak tahan panas dan penat,” ujarnya.
Tambah beliau, apabila ibu mangsa tiba di kawasan parkir pada pukul 11.35 pagi, remaja itu didapati tiada sebelum disyaki hilang semasa turun seorang diri.
Difahamkan, jenazah mangsa akan dibawa pulang ke kampung halaman di Felda Trolak Utara, Sungkai, Perak untuk urusan pengebumian selepas selesai proses bedah siasat. – KOSMO! ONLINE














