HULU SELANGOR – Jasad remaja perempuan yang ditemukan hari ini selepas dilaporkan hilang ketika menuruni Bukit Changkat Asa,di sini, sejak Sabtu lalu berada dalam keadaan sempurna.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mangsa, Nur Izzati Humaira Azizul, 19, ditemukan pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 11.58 pagi di kawasan kebun.
Menurut beliau, lokasi mangsa ditemukan terletak kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir beliau dilihat dan satu kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
“Pemerhatian awal mendapati mangsa ditemui dalam keadaan sempurna dengan berpakaian penuh serta tiada tanda-tanda serangan haiwan liar dikesan di lokasi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu bagi tindakan lanjut.
Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa pada pukul 1.28 tengah hari, 23 Mei lalu sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu digerakkan ke lokasi kejadian.
Operasi SAR membabitkan anggota BBP Kuala Kubu Bharu dengan bantuan BBP Tanjung Malim, Unit K9 JBPM serta pelbagai agensi lain termasuk PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Bomba Sukarela, Pejabat Tanah, Jabatan Hutan, Malim Gunung dan sukarelawan.
Mukhlis berkata, operasi pencarian hari kedua dilakukan di lokasi terakhir mangsa dilihat dengan radius pencarian diperluaskan sehingga 0.43 kilometer persegi yang turut dibantu dua ekor anjing Unit K9 JBPM selain tiga dron milik Pejabat Tanah Kuala Kubu Bharu dan Pejabat Tanah Muallim.
“Pencarian diteruskan pada hari ketiga dengan kekuatan tambahan daripada pelbagai agensi termasuk Malim Gunung dan sukarelawan, sebelum radius pencarian diperluaskan lagi sehingga 0.65 kilometer persegi.
“Pencarian kemudian disambung semula pada pukul 9 pagi hari ini sebelum pasukan berjaya menemukan mangsa pada pukul 11.58 pagi, sekali gus menamatkan operasi SAR yang berlangsung hampir empat hari,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














