fbpx
PENYERANG Selangor, Chrigor Moraes (kiri) akan diberikan tanggungjawab untuk merobek pintu gol Buriram. - MUHAMAD IQBAL ROSLI

ACC: Selangor enggan menyerah terlalu awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISTILAH berputus asa tidak pernah wujud dalam kamus hidup pengendali Selangor FC, Kim Pan-gon yang kekal positif untuk menghadirkan aksi lebih baik pada perlawanan kedua final Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) menentang Buriram United di Arena Chang malam ini.

Walaupun tewas 0-1 pada aksi pertama, keutamaan Pan-gon kini lebih menjurus kepada mencetuskan semangat kepada pemain bagi merekodkan prestasi lebih baik pada perhitungan kedua.

Malah bekas pengendali Harimau Malaya itu juga kekal dengan pendekatan untuk bermain secara lebih terbuka dan menerapkan taktikal menyerang memandangkan jurang satu gol tidak terlalu besar.

“Kami masih lagi memiliki tempoh 90 minit dan bagi saya, apa sahaja masih boleh berlaku. Kami mesti kekal berdiri teguh, menjalani proses pemulihan dengan betul dan memperbaiki beberapa perkara.

“Pastinya saya mahu memberi dorongan kepada pemain kerana saya boleh rasakan keyakinan mereka untuk terus tampil lebih baik. Saya juga percaya kami akan tampil dengan lebih kuat lagi,” katanya.

Pada perlawanan pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Rabu lalu, Buriram United terpaksa berpuas hati dengan kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan tunggal Suphanat Mueanta.

Malah Pan-gon juga menegaskan, beliau tidak berasa kesal dengan kekalahan pada perlawanan pertama dan fokus harus segera dialihkan ke final kedua itu bagi memburu kejuaraan buat pasukan.

“Kami sudah tidak sabar, pasukan teknikal kami akan bekerja untuk betulkan beberapa perkara dan kami akan menyiapkan pasukan dengan penuh profesional. Kami akan ke sana (Buriram) untuk menyerang mereka,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN