PETALING JAYA – Kecurian kira-kira 100 meter kabel di Kilometer 95.8 antara Sungai Siput dan Kamunting hari ini menyebabkan gangguan kepada sistem semboyan sekali gus menjejaskan operasi perkhidmatan tren di sektor utara.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan memaklumkan, kejadian itu dikesan oleh Polis Bantuan KTMB pada awal pagi selepas pemeriksaan di lokasi mendapati berlaku kehilangan kabel yang memberi kesan kepada sistem semboyan di laluan berkenaan.
Katanya, susulan insiden tersebut, beberapa perkhidmatan KTM Komuter Utara dan tren elektrik (ETS) mengalami kelewatan melebihi 60 minit daripada jadual asal.
“Antara tren KTM Komuter Utara yang terlibat ialah No. 2902 dengan kelewatan sekitar 34 minit, No. 2904 (40 minit), No. 2903 (23 minit) dan No. 2905 (25 minit).
“Perkhidmatan ETS turut terkesan membabitkan EP9121 yang mengalami kelewatan 90 minit, EX9171 (21 minit), EP9323 (6 minit) dan EG9343 (3 minit),” katanya hari ini.
Kata KTMB, pihaknya memandang serius kejadian kecurian kabel tersebut kerana bukan sahaja menjejaskan kelancaran operasi tren, malah memberi implikasi terhadap aspek keselamatan serta kebolehpercayaan sistem perkhidmatan rel negara.
“Pasukan teknikal KTMB sedang giat melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan bagi menstabilkan semula operasi serta memastikan pergerakan tren dapat kembali beroperasi seperti biasa secepat mungkin,” ujarnya.
Tambahnya, penumpang disaran mendapatkan maklumat terkini berhubung status perjalanan dan kelewatan tren menerusi media sosial rasmi KTMB selain boleh merujuk kakitangan stesen bertugas untuk bantuan lanjut. – KOSMO! ONLINE














