PETALING JAYA – Lingkaran Cekap Sdn Bhd (LCSB), pengendali sah rangkaian jalan raya Genting Highlands akan melaksanakan caj jalan raya melibatkan dua fasa, berkuat kuasa 28 Mei dan 28 Jun 2026.
LCSB menerusi kenyataannya, semua pengguna jalan raya yang dibenarkan, selain daripada kategori dikecualikan, dikehendaki membayar caj jalan berkenaan semasa memasuki Jalan Genting Highlands berkuat kuasa 28 Mei ini.
Bayaran akan dikutip di Pintu Masuk Genting Highlands di Genting Sempah dan Pintu Masuk Gohtong Jaya di bulatan Gohtong Jaya.
Bagi kereta atau van dalam Kelas 1 akan dikenakan bayaran RM5 di kedua-dua Pintu Masuk Genting Highlands dan Pintu Masuk Gohtong Jaya.
Lori sederhana dalam Kelas 2 dikenakan bayaran RM15, manakala lori berat dalam Kelas 3 akan dikenakan bayaran RM25 di kedua-dua lokasi masuk.
Seterusnya, teksi dalam Kelas 4 akan dikenakan bayaran RM3.30, manakala bas dalam Kelas 5 akan dikenakan bayaran RM5.
Menurut LCSB, kenderaan di bawah Kelas 2, 3, 4 dan 5 dikehendaki masuk melalui lorong Lorong Khas atau pengecaman plat lesen (LPR).
“Bagi kenderaan kecemasan, motosikal dan kenderaan persendirian milik penjawat awam yang tempat kerja mereka berada di institusi kerajaan yang dikenal pasti di Genting Highlands, adalah dikecualikan daripada caj jalan raya,” pada pemakluman berkenaan yang dikongsikan pada laman web LCSB.
Sementara itu, berkuat kuasa 28 Jun, LCSB akan mendaftarkan sehingga dua kenderaan Kelas 1 (kenderaan berdaftar) untuk penduduk tetap Genting Highlands yang layak dan akan menikmati kadar keutamaan 10 peratus lebih rendah daripada kadar biasa setiap kemasukan dengan menggunakan Lorong LPR/Lorong Khas.
“Kenderaan berdaftar tidak akan dikenakan sebarang caj sebelum 28 Jun,” katanya.
LCSB juga akan memperkenalkan skim pas bermusim selama enam bulan untuk penduduk tetap berdaftar.
“Pas bermusim ini akan melayakkan pemegang masuk tanpa had ke Jalan Genting Highlands sepanjang tempoh sah laku melalui Lorong LPR atau Lorong Khas dan mendapat kemudahan lebih baik dan penjimatan kos yang ketara.
“Penduduk tetap yang berminat boleh mendapatkan pas bermusim dengan mengemukakan permohonan dan membuat pembayaran diperlukan,” kata LCSB. – KOSMO! ONLINE














