fbpx
Gambar hiasan.

Siasat syarikat tawar korban RM250 satu bahagian unta di Mekah, Afrika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menjalankan siasatan terhadap syarikat tempatan yang menawarkan perkhidmatan ibadah korban dan aqiqah di luar negara susulan kebimbangan terhadap aspek ketelusan operasi serta pengurusan kewangan mereka.

Presiden Pertubuhan Jalinan Sahabat Nusantara (Jasanusa), Samsudin Awang berkata, menjelang sambutan Aidiladha, terdapat syarikat yang giat mempromosikan pakej korban serta akikah luar negara dengan menggunakan sentimen agama Islam.

Menurut beliau, antara tawaran yang sedang rancak dipromosikan ialah satu bahagian korban unta di Mekah atau negara Afrika pada harga serendah RM250.

Katanya, tawaran itu dibuat dengan alasan pelanggan bakal memperoleh lebih pahala kerana daging korban diagihkan kepada golongan yang lebih memerlukan di negara terbabit.

“Syarikat berkenaan begitu rancak
mempromosikan khidmat mereka dengan menggunakan sentimen ’ibadah Islam’ dan ’kebajikan’ saudara islam di luar negara.

“Namun sejauh mana kesahihan khidmat mereka atau sejauh mana ketelusan pengurusan kewangan syarikat mereka, masih tidak diketahui umum malahan ada yang bertopengkan nama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mempromosikan dakwah rentas sempadan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Samsudin berkata, orang ramai perlu mengambil iktibar daripada beberapa kes penipuan sebelum ini yang menggunakan nama ibadah dan kebajikan luar negara sebagai umpan untuk meraih sumbangan.

“Kita wajar mengambil pengajaran dari kes sindiket penipuan Waqaf Telaga Air Kemboja, derma kemanusiaan Aman Palestin, Misi Kemanusian Syria, Valet Doa di Mekah, penipuan Badal Haji (upah haji) dan pelbagai lagi penipuan yang menggunakan umpan ibadah luar negara,” jelasnya.

Beliau menambah, terdapat juga agensi yang mendakwa menjalinkan kerjasama korporat dengan syarikat pembekal ternakan di negara terbabit bagi melaksanakan ibadah korban dan aqiqah.

“Seluruh wang bayaran dari pelanggan didakwa digunakan untuk tujuan menjayakan ibadah
korban berkenaan manakala daging korban atau aqiqah akan diagihkan kepada penerima miskin di negara terbabit.

“Namun sejauh mana kesahihannya masih samar untuk dibuktikan kepada pelanggan, tambahan pula dengan teknologi manipulasi Kecerdasan Buatan (AI) yang semakin berleluasa ketika ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Samsudin mendakwa terdapat syarikat yang telah menawarkan perkhidmatan korban dan aqiqah luar negara sejak lebih 20 tahun lalu, namun tidak pernah mengemukakan laporan audit yang jelas kepada orang ramai.

Sehubungan itu, beliau menggesa SPRM menuntut semua syarikat, yayasan atau NGO berkaitan supaya mengemukakan laporan audit kewangan yang dilaksanakan oleh juruaudit bertauliah dan bukannya sekadar audit dalaman.

Katanya, ia bertujuan mengelakkan berlakunya unsur penyelewengan serta pengubahan wang haram, malah membendung eksploitasi nama Islam untuk tujuan mengaut keuntungan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN