MANCHESTER – Era kegemilangan selama sedekad yang dibina oleh Pep Guardiola di Manchester City akhirnya melabuhkan tirai, namun pengendali sensasi Sepanyol itu meninggalkan satu amanat penting buat individu yang bakal mewarisi legasinya di Stadium Etihad.
Selepas mengemudi City meraih pelbagai trofi dan mengubah status kelab itu menjadi antara kuasa besar bola sepak Eropah, Guardiola menegaskan penggantinya tidak perlu cuba menjadi dirinya, sebaliknya berani membentuk identiti serta falsafah sendiri.
“Apabila kelab memberitahu saya siapa yang akan mengisi jawatan pengurus, sudah tentu saya akan menghubunginya.
“Saya akan katakan perkara sama seperti sebelum ini, iaitu jadilah diri sendiri. Kelab ini akan memberikan sokongan tanpa syarat dan itu adalah kelebihan terbesar yang dimiliki mana-mana pengurus di sini.
“Kamu perlu melindungi kelab ini lebih daripada mana-mana tempat lain. Bebaskan diri dengan idea sendiri, bekerja keras dan semuanya akan berjalan dengan baik,” katanya.
Guardiola mengakhiri perjalanan penuh gemilang bersama City dengan kekalahan 1-2 kepada Aston Villa, namun keputusan itu tidak sedikit pun menghakis penghormatan penyokong terhadap pengurus berusia 55 tahun tersebut.
Pada aksi terakhirnya, Guardiola disambut penuh emosi oleh penyokong dengan sepanduk gergasi tertera wajahnya bersama ungkapan ‘Game changer. History maker. City forever’, sebagai penghargaan terhadap legasi luar biasa yang ditinggalkan.
Sepanjang 10 musim mengendalikan City, Guardiola menghadiahkan 20 trofi termasuk enam kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan trofi Liga Juara-Juara Eropah pertama kelab pada 2023.
Difahamkan, bekas pembantunya yang juga bekas pengurus Chelsea, Enzo Maresca menjadi calon utama menggantikan Guardiola, sekali gus bakal memikul tanggungjawab besar meneruskan era kecemerlangan pasukan. -AGENSI














