PETALING JAYA – “Angah, tolong respons angah. Angah…angah dengar tak?”
Itu antara panggilan seorang ibu apabila Mastura Md. Zin, 47, berjaya menghubungi anaknya Nur Izzati Humaira Azizul, 19, melalui telefon selepas beberapa jam remaja tersebut hilang.
Nur Izzati Humaira sebelum ini dilaporkan hilang dipercayai tersesat selepas terpisah daripada lima rakan serta ahli keluarganya ketika menuruni Bukit Changkat Asa di Tanjung Malim, Perak pada Sabtu lalu.
Menerusi sebuah rakaman video yang tular di media sosial, kedengaran Mastura berulang kali memanggil anak perempuannya itu melalui panggilan telefon namun tidak dibalas.
“Ramai orang nak tolong ni, lawan-lawan. Jangan duduk situ lama-lama, bukan tempat kita,” katanya.
Malah, wanita itu turut mengingatkan anaknya supaya terus berzikir dan bertakbir bagi menguatkan semangat sementara pasukan penyelamat berusaha menjejaki keberadaan remaja tersebut.
“Angah (baca) zikir…angah, takbir,” katanya lagi.
Pada masa sama, seorang lelaki tampil melaungkan azan menerusi panggilan telefon tersebut sebagai ikhtiar untuk proses pencarian dipermudahkan.
Difahamkan, panggilan tersebut sudah bersambung lebih lima minit dan Mastura hanya mampu memanggil anaknya dengan panggilan mesra ‘angah’ berulang kali dan berharap suaranya didengari Nur Izzati.
Rata-rata pengguna media sosial turut berharap operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja terbabit dipermudahkan selain meminta keluarga mangsa terus tabah menghadapi dugaan tersebut.
Difahamkan, operasi pencarian dijalankan dengan bantuan pelbagai agensi keselamatan bersama penduduk setempat yang turun padang membantu mengesan mangsa.
Semalam, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar dilaporkan berkata, seramai 76 anggota bomba, sukarelawan dan ahli pertubuhan bukan kerajaan terlibat dengan operasi SAR bagi mengesan mangsa meliputi kawasan seluas 0.436 kilometer (KM) persegi.
Bagaimanapun, katanya operasi itu ditangguh pada 6.30 petang dan disambung semula 9 pagi hari ini. – KOSMO! ONLINE














