PORT DICKSON – Seorang lelaki mengalami kecederaan di peha dan kaki dipercayai digigit buaya dalam kejadian di tebing Sungai Linggi, Kampung Tanjung Agas, di sini, awal pagi tadi.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa, Jaafa Hasan, 62, yang merupakan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung berkenaan
mengalami kecederaan serius di kedua-dua kaki dan paha.
Menurut nelayan setempat, perkongsian berkenaan tular dalam kumpulan whatsApp nelayan setempat sejak pagi tadi dan difahamkan ketika kejadian mangsa sedang berada di tebing sungai serta menebar jala.
“Berkemungkinan, mangsa tidak perasan buaya tersebut ada dan buaya tersebut terus membaham mangsa. Mangsa dipercayai sempat bergelut dengan reptilia berkenaan dan berjaya menyelamatkan diri.
“Mangsa kemudiannya telah dikejarkan ke hospital oleh pasukan paramedik dan kini sedang menjalani rawatan susulan kecederaan berkenaan,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.
Sementara itu, difahamkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan sedang melakukan siasatan berhubung kejadian berkenaan.- KOSMO! ONLINE














