KLANG – Projek pengindahan bulatan bertema di Bandar Bukit Tinggi di sini, bukan sahaja menceriakan landskap bandar ini, malah memberi nilai tambah kepada imej visual Klang sebagai bandar raya warisan.
Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Norfiza Mahfiz berkata, projek Rotary Roundabout itu juga mewujudkan persekitaran lebih kondusif, bersih dan tersusun demi kesejahteraan penduduk setempat.
Katanya, inisiatif itu dilaksanakan MBDK bersama Rotary Club of Klang Central dan sumbangan dana, masa serta tenaga daripada pelbagai pihak ini mencerminkan semangat tanggungjawab sosial korporat.
“Kewujudan Rotary Roundabout ini menjadi simbolik kepada kebersamaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menjayakan projek landskap berkonsepkan keceriaan di bulatan Bandar Bukit Tinggi ini,” katanya ketika mewakili Datuk Bandar MBDK pada Majlis Perasmian Rotary Roundabout di Bandar Bukit Tinggi di sini baru-baru ini.
Menurutnya, MBDK berharap lebih banyak kerjasama strategik dalam usaha memacu pembangunan komuniti inklusif dan pemeliharaan alam sekitar mampan di Klang.- KOSMO! ONLINE














