fbpx
Mohd A'lamin melihat lembu ternakannya termasuk Si Putih Nylo seberat 750kg ketika ditemui di Kampung Pilin, Rembau semalam. Foto oleh NOR AINNA HAMZAH / KOSMO!

Cubaan pertama lulusan kejuruteraan jual lembu korban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

REMBAU – Seorang lulusan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Port Dickson tidak menyangkakan percubaan pertama untuk menjual haiwan korban membuahkan hasil apabila 132 ekor lembu termasuk lembu ‘sado’ terjual dalam masa sebulan setengah.

Mohd A’lamin Mohd Hasim, 41, berkata, konsep ladang transit itu memfokuskan kepada pembelian anak lembu berusia empat bulan sebelum diternak sehingga mencapai berat 200 kilogram (kg) ke atas untuk dijual bagi ibadah korban.

Lelaki itu turut menawarkan lima ekor lembu sado termasuk si putih Nylo seberat 750kg berharga RM14,500 dan baka limosin dengan berat 580kg.

Selain lembu, Mohd. A’lamin turut menjual 150 ekor kambing yang diternak di ladang di Kota dan Sendayan.

“Bagi lembu sado kos penjagaannya agak besar berbanding lembu biasa kerana diberi makan dedak, soya dan sawit setiap hari.

“Di ladang ini sebanyak 100 ternakan sudah mencapai berat 220kg ke atas,manakala ladang di Port Dickson pula, terdapat 32 lembu bersaiz sederhana iaitu 300kg ke atas jenis Brahman. Kesemua haiwan ini sudah mempunyai tuan untuk dikorbankan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Pilin, di sini semalam.

Menurut Mohd. A’lamin, dia memang meminati bidang ternakan sejak di bangku sekolah namun mengambil masa kerana ia memerlukan modal.

Lelaki itu bermula dengan menternak ayam pada 2008, sebelum beralih kepada lebah kelulut dan ikan tilapia dan ikan air masin dalam tasik buatan.

“Tahun lalu, saya membuka ladang kambing di Kota dengan modal RM30,000. Selepas tujuh bulan, saya bersama rakan niaga membuka ladang lembu dengan modal RM70,000,” katanya.

Bagi ternakan kambing, selain di Kota, sebuah lagi kandang di Sendayan dibuka untuk ibadah korban tahun ini yang kesemua berjumlah 150 ekor dan laris dijual.

“Kesemua ternakan akan mula dihantar kepada pelanggan bermula esok (hari ini) dan Selasa (esok) di sekitar Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya.

Lelaki itu melihat pelanggan memilih untuk membeli lembu murah dengan berat 170kg hingga 260kg pada harga RM3,500 hingga RM4,400.

Mohd. A’lamin berharap lebih ramai lagi individu terutama golongan belia terbabit dalam aktiviti penternakan kerana industri daging dalam negara masih tidak mencukupi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN