KAMPAR – Kejadian kebocoran serius di Hospital Kampar semalam menyebabkan petugas kesihatan yang berdedikasi terpaksa menggunakan payung bagi melindungi pesakit mereka di dalam wad.
Perkara itu dikongsikan pengguna media Threads Cloverushakhmar yang menyaksikan sendiri suasana berkenaan apabila air hujan menitis di dalam wad, selain beberapa kali gangguan elektrik menyebabkan peralatan perubatan seperti mesin ventilator turut terjejas.
“Pengalaman warded (masuk wad) kat sana (Hospital Kampar). Asal kilat sikit pun akan trip (elektrik terhenti), kejap-kejap blackout (bergelap). Dari wad wanita sampai wad kanak-kanak pun sama.
“Seriau sebab ada yang pakai mesin ventilator semua. Itu belum lagi komer (kamu) tengok air atas koridor. Mana demer (mereka) nak cepat uruskan pesakit, mau jatuh terlentang,” katanya hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Kampar, Ahmad Fauzi Sulaiman berkata, hasil lawatan dan pemeriksaan yang dilakukan hari ini mendapati beberapa bahagian rabung bumbung hospital telah diterbangkan angin sehingga menyebabkan air hujan memasuki ruang rawatan.
Katanya, keadaan itu menyebabkan kebocoran serius terutama di Unit Kecemasan dan Trauma sekali gus menjejaskan operasi rawatan di beberapa lokasi dalam hospital tersebut.
“Hospital Kampar merupakan bangunan lama yang dibina sekitar 1950 dan faktor usia menyebabkan banyak struktur mengalami proses pereputan serta kehausan semula jadi.
“Selain itu, kedudukan rabung bumbung yang terlalu tinggi turut menyukarkan kerja penyelenggaraan serta pemantauan dilakukan secara berkala,” katanya hari ini. – KOSMO! ONLINE














