MELAKA – Seorang tukang urut memohon bantuan untuk membaiki rumah pusakanya yang ranap selepas dihempap sebatang pokok petai dalam kejadian ribut beserta hujan lebat di Pantai Kundor di sini, Khamis lalu.
Zulkapli Mamat, 60, berkata, dia buntu mencari wang RM20,000 untuk kos pembaikan yang dianggarkan oleh tukang rumah ekoran pendapatan diperoleh membuatkan dirinya tidak mampu untuk mengumpulnya dalam tempoh terdekat.
Katanya, kejadian itu menyebabkan bumbung ranap, struktur rumah senget dan ruang terlibat tidak dapat digunakan lagi kerana bimbang runtuh.
“Kejadian berlaku pada pukul 4.30 pagi ketika saya sedang tidur kerana keletihan selepas mengurut beberapa pelanggan. Tiba-tiba saya terdengar bunyi kuat dari arah ruang tamu waktu hujan lebat dan ribut.
“Alangkah terkejut melihat sebatang pokok petai berusia lebih 40 tahun telah tumbang menimpa rumah. Saya kemudian terus hubungi pihak berkuasa untuk memaklumkan kejadian itu,” katanya ketika dihubungi.
Ceritanya, setakat ini dia yang tinggal seorang diri di kediaman itu ada menerima bantuan awal daripada beberapa pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor, Datuk Tuminah Hashim tetapi jumlah yang diperlukan masih belum mencukupi.
“Ekoran kejadian itu pendapatan saya sebagai tukang urut turut terjejas kerana tidak dapat menerima pelanggan seperti kebiasaannya.
“Saya juga risau jika situasi ini dibiarkan berlarutan, rumah ini bertambah rosak akibat dimasuki air hujan, selain didatangi haiwan liar,” ujarnya.
Kata Zulkapli, pokok petai itu telah dialihkan oleh pihak bomba sejurus kejadian.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghulurkan sumbangan ke akaun CIMB miliknya, 7026301423 atau menghubunginya di talian 019-656 5845.














