PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan keyakinan terhadap perkembangan rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran berhubung pembukaan semula Selat Hormuz yang kini menunjukkan petanda positif.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata, Malaysia menerima petunjuk menggalakkan daripada pemimpin di Asia Barat bahawa rundingan ke arah mencapai persetujuan rangka kerja antara kedua-dua negara sedang bergerak secara progresif.
Menurutnya, perkembangan tersebut dilihat dengan penuh optimis memandangkan ia berpotensi menjamin kestabilan dan keselamatan di rantau Asia Barat.
“Malaysia mengambil maklum peranan konstruktif yang dimainkan Bahrain, Mesir, Jordan, Oman, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam memudah cara proses ini.
“Kami juga mengalu-alukan penglibatan peribadi Presiden Donald Trump dalam usaha mencapai penyelesaian secara rundingan,” katanya.
Tambahnya, semua pihak perlu memanfaatkan peluang tersebut dan memastikan rundingan berkenaan dapat diteruskan sehingga mencapai kejayaan.
Beliau turut menggesa semua pihak mencapai persetujuan rangka kerja yang inklusif bagi memperkukuh gencatan senjata sedia ada serta memastikan laluan selamat di Selat Hormuz.
Katanya, perjanjian itu juga perlu mengambil kira kepentingan keselamatan sah semua negara di rantau berkenaan.
“Malaysia bersedia menyokong sebarang usaha pelbagai hala yang mampu menyumbang kepada keamanan dan kestabilan berkekalan di Asia Barat,” ujarnya.
Untuk rekod, Selat Hormuz merupakan laluan perdagangan minyak utama dunia yang sering menjadi tumpuan ketegangan geopolitik melibatkan Iran dan negara-negara Barat.
Terdahulu, ketegangan di kawasan tersebut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan laluan perdagangan antarabangsa serta kestabilan harga minyak global – KOSMO! ONLINE














