TANJUNG MALIM – Remaja perempuan berusia 19 tahun yang dilaporkan hilang selepas dipercayai sesat ketika menuruni Bukit Changkat Asa di sini semalam berjaya dihubungi keluarganya melalui telefon.
Dakwa bapa saudaranya, Azman Abdul Aziz, 57, anak saudaranya iaitu Nur Izzati Humaira Azizul ada membalas panggilan telefon keluarganya pada pukul 1.26 petang semalam.
“Namun, suaranya tersekat-sekat. Tidak tahu apa puncanya. Kemudian ditelefon semula beberapa kali terus senyap tetapi saya amat berharap beliau selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
“Beliau seorang yang pendiam, warak dan disenangi tidak mengira keluarga, rakan-rakan atau jiran berdekatan,” katanya ketika ditemui di Jalan Lambak di sini hari ini.
Katanya lagi, anak saudaranya berhasrat menyambung pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris sebaik tamat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia kerana bercita-cita menjadi seorang pendidik.
Sementara itu, usaha media untuk menemubual ibu Nur Izzati iaitu Mastura Md. Zin, 47, ibu saudara dan gagal kerana masih sedih dan trauma dengan kehilangan tersebut.
Kosmo! semalam melaporkan Nur Izzati Humaira dilaporkan terpisah daripada lima rakan serta ahli keluarganya yang melakukan aktiviti mendaki di lokasi berkenaan. – KOSMO! ONLINE














