fbpx
MALAYSIA dinobatkan sebagai juara acara regu berpasukan selepas menewaskan Thailand di pentas final Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi. - SHIDDIEQIIN ZON

Kontroversi lengkapkan cerita Malaysia muncul juara dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

KUALA LUMPUR – Kontroversi yang berlaku pada set kedua regu ketiga mewarnai kejayaan Malaysia bergelar juara dunia selepas menumbangkan musuh tradisi, Thailand pada aksi final regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Thailand yang sedang mendahului 14-13 di set kedua regu ketiga bertindak memprotes keputusan pengadil dari Singapura, Radhi Che Mei hingga menyaksikan perlawanan tertangguh kira-kira setengah jam.

Tindakan pemain Thailand untuk tidak meneruskan permainan menyaksikan pegawai perlawanan membuat keputusan kemenangan berpihak kepada Malaysia sekali gus bergelar juara dunia.

Kejayaan kali ini juga menyaksikan skuad negara berjaya lunas dendam kekecewaan pada edisi 2024 yang menyaksikan Malaysia sekadar berpuas hati bergelar naib juara selepas tewas 1-2.

“Pengadil batalkan mata Thailand kerana kaki pemain mereka melebihi garisan bawah jaring. Memang mereka tidak berpuas hati dengan keputusan itu.

“Walaupun mereka buat bantahan, keputusan asal tetap kekal sebab memang kaki pemain itu lebih. Saya sendiri nampak,” kata pengurus pasukan negara, Datuk Abu Jimi Samat.

Terdahulu, regu pertama negara yang diperkuatkan oleh Zulkifli Abd Razak, Aidil Aiman Azwawi dan Afifuddin Razali berjaya memperoleh mata pertama buat Malaysia apabila menang 15-9, 13-15, 15-12.

Thailand kembali mengikat kedudukan 1-1 selepas selepas trio Kritsanapong Nontakote, Tanaphon Sapyen dan Wuttinun Kamsanor tampil lebih cemerlang apabila mudah mengalahkan regu negara 15-6, 15-10.

Regu ketiga negara menang 15-13 di set pertama sebelum Thailand mencetuskan drama untuk tidak meneruskan permainan ekoran kekecewaan terhadap keputusan pengadil di penghujung set kedua.

Pengurus Thailand, Auychai Srisuwan berkata, pihaknya cukup kecewa dengan pengadil bertugas dan rasa tidak puas hati itu tidak hanya membabitkan aksi regu ketiga.

“Kami sudah rugi beberapa mata pada perlawanan ini, bukan sahaja ketika kontroversi tadi. Jadi kami mengambil keputusan enggan meneruskan perlawanan,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia sudah pun menjuarai acara kuadran selepas mengalahkan India 2-0. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN