TAMPIN – Sepasang suami isteri dan anak lelaki mereka berusia 13 tahun mengalami detik-detik cemas terbabit dalam nahas semasa mengejar penjenayah yang melarikan kenderaan pikup jenis Ford Raptor mereka di Gemencheh, petang Khamis lalu.
Mangsa, Shamimi Arif, 42, berkata, dia dan suami, Mohd Khairul Abd Khalil, 42, tidak sangka suspek yang baik dengan berpakaian kemas ada niat melarikan kenderaan mereka yang diiklankan untuk dijual sejak Februari lalu dalam kumpulan Ford.
Jelasnya yang merupakan peguam, tengah hari sebelum kejadian, suspek menghubungi suaminya untuk melihat kenderaan dan datang bersama seorang lagi lelaki menaiki Mini Cooper Crossover berwarna hijau ke kediaman ibu mereka di Taman Asahan Jaya sekitar pukul 5.30 petang.
“Salah seorang daripada lelaki tersebut cuba uji pandu kenderaan dengan suami saya dalam 15 hingga 20 minit lepas tu pulang kembali ke rumah ibu saya. Suami baru nak keluar dari Ford Raptor sebab nak serahkan kunci kereta saya yang satu lagi. Terus suspek bawa larikan kenderaan.
“Salah seorang suspek tu pakai seperti jaket pegawai kerajaan dan duduk dalam kereta Mini Cooper. Memang tak nampak macam penjenayah. Selepas kereta dilarikan, saya dan anak berusia 13 tahun terus masuk ke dalam kereta dan cuba kejar,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Kata Shamimi, ketika sedang kejar suspek dengan Mercedes GLA250, mereka telah dihimpit sehingga menyebabkan berpusing dan terbabas di bahu jalan.
“Saya dan anak saya lebam di lutut dan siku. Dalam kejadian ini, terdapat beberapa buah kenderaan lain lagi yang cuba mengejar suspek. Kedua-dua suspek berkenaan agak tinggi serta berkulit cerah serta kurus,” katanya.
Jelasnya, dia amat berharap agar kenderaan yang sudah digunakan sejak awal tahun 2020 itu dapat ditemukan semula dan kenderaan itu pada mulanya hendak dijual kerana sudah tiada keperluan untuk menggunakan kenderaan pacuan empat roda berkenaan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, polis sedang memburu kedua-dua suspek dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 379A dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan, orang awam ada maklumat hubungi 06-4431999.














