KUALA LUMPUR – Walaupun operasi dan tindakan penguatkuasaan sering dijalankan, kegiatan ulat foto serta penjaja tanpa lesen di sekitar KLCC dan Pintasan Saloma dilihat masih belum serik apabila terus kembali mencari pelanggan di lokasi tumpuan pelancong.
Perkara itu terbukti apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sekali lagi melaksanakan Tindakan Khas Ops Lens di sekitar Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee dan Pintasan Saloma pada Rabu lalu bermula pukul 9 malam hingga selesai.
DBKL dalam satu kenyataan di Facebook berkata, operasi khas berkenaan dilaksanakan bagi membanteras aktiviti ulat foto dan penjaja tanpa lesen yang menjalankan aktiviti perniagaan secara tidak sah di kawasan tumpuan awam serta pelancongan sekitar pusat bandar raya Kuala Lumpur.
“Hasil tindakan penguatkuasaan yang dijalankan, sebanyak 24 kes telah diambil dengan 19 notis kompaun dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil 3(1) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.
“Enam kes direkodkan di kawasan Pintasan Saloma manakala 18 kes lagi melibatkan sekitar Jalan Ampang dan Jalan P. Ramlee,” katanya di sini.
Menurutnya, operasi berkenaan melibatkan kekuatan seramai 30 anggota penguat kuasa bersama pegawai pemantau dan anggota bertugas.
“Satu laporan polis dibuat membabitkan seorang individu bukan warganegara yang melarikan diri dan meninggalkan kad pengenalan pemastautin tetap (IC merah) di lokasi operasi untuk tindakan lanjut pihak berkuasa,” katanya.
Tambahnya, DBKL akan terus mempertingkatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan secara berterusan khususnya di lokasi tumpuan pelancong dan kawasan awam bagi memastikan Kuala Lumpur kekal bersih, teratur, selamat dan selesa untuk semua. – KOSMO! ONLINE














