PETALING JAYA – Pas mengarahkan semua pimpinan dan ahlinya supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau ulasan berhubung perkembangan semasa melibatkan parti itu tanpa kebenaran khas daripada kepimpinan tertinggi parti.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, arahan itu meliputi semua saluran media dan komunikasi termasuk media sosial bagi mengelakkan sebarang kekeliruan serta salah tafsir.
Menurut beliau, semua pihak diminta supaya kekal tenang dan menyerahkan perkara berkenaan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta kepimpinan parti untuk diuruskan secara cermat dalam masa terdekat.
“Pas meminta semua pimpinan dan ahli Pas agar tidak membuat sebarang kenyataan ataupun ulasan mengenai perkembangan terkini yang melibatkan pihak-pihak lain dengan Pas dalam mana-mana saluran media atau komunikasi melainkan dengan kebenaran khas parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Abdul Hadi dalam satu sidang akhbar dilaporkan memaklumkan Pas tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Kenyataan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pemimpin politik dan penyokong kedua-dua parti susulan hubungan Pas dan Bersatu yang sebelum ini berada dalam gabungan Perikatan Nasional. – KOSMO! ONLINE.














