KUALA PILAH – Polis kini sedang memburu pencuri rim beserta keempat-empat tayar dua buah kenderaan yang diparkir di luar kawasan Kolej Jururawat Kuala Pilah, di sini.
Kejadian berkenaan menjadi tular di media sosial sehinggakan ramai individu turut berkongsikan kejadian serupa kehilangan tayar pada kenderaan yang diparkir di kawasan sekitar daerah berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin, pihaknya telah menerima laporan dari mangsa 18 Mei lalu melibatkan kecurian komponen kenderaan.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku antara 15 Mei hingga 18 Mei lalu di kawasan parkir tepi jalan bersebelahan pagar Kolej Jururawat Kuala Pilah.
“Kawasan tersebut didapati gelap dan sunyi pada waktu malam kerana tiada lampu jalan serta tidak
dilengkapi televisyen litar tertutup. Mangsa membabitkan kereta jenis Perodua Bezza. Mangsa mendapati keempat-empat sport rim beserta tayar kenderaannya telah hilang kira-kira pukul 7 pagi selepas dimaklumkan melalui aplikasi WhatsApp,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Muhamad lagi, siasatan turut mendapati sebuah lagi kereta jenis Perodua Axia SE yang diparkir di lokasi sama mengalami kehilangan keempat-empat tayar beserta rim.
Menurutnya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan dan anggaran kerugian yang dialami mangsa-mangsa adalah sekitar RM2,000. -KOSMO! ONLINE














